EKONOMI > BERITA

CUKAI 2024: PEMBAHARUAN FISKAL TERUS MERANGSANG KUTIPAN HASIL

11/12/2024 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Kerajaan akan meneruskan usaha untuk mengurangkan defisit fiskal kepada 4.3 peratus pada 2024 dan 3.8 peratus pada 2025 berbanding lima peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023.

Pada masa yang sama, kerajaan akan menambah baik pembaharuan fiskal untuk memperteguh daya tahan kewangan dan meningkatkan hasil.

Inisiatif utama pada tahun ini turut merangkumi semakan semula cukai perkhidmatan kepada lapan peratus daripada enam peratus, cukai jualan dalam talian sebanyak 10 peratus ke atas barangan import bernilai rendah (LVG) yang bernilai RM500 atau kurang daripada itu, dan pengenalan cukai keuntungan modal.

Malah, terdapat usaha untuk mendigitalkan percukaian dan pelaporan kewangan melalui e-invois untuk mengurangkan kes mengelak pembayaran cukai dan ketirisan kewangan.

 

Cukai jualan dan perkhidmatan (SST)

Cukai jualan sebanyak 10 peratus dikenakan ke atas barangan import bernilai rendah (LVG) yang dijual secara dalam talian berkuat kuasa mulai 1 Jan 2024. Cukai ini kali pertama diumumkan dalam Belanjawan 2022 dan dijadualkan berkuat kuasa pada 1 April 2023 sebelum kemudiannya ditangguhkan.

Sementara itu, mulai 1 Mac 2024, kadar cukai perkhidmatan dinaikkan kepada lapan peratus berbanding enam peratus di pelbagai sektor manakala perkhidmatan asas seperti makanan dan minuman, telekomunikasi, tempat letak kereta, dan logistik kekal dikenakan cukai pada enam peratus.

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) secara progresif dari segi skop dan kadar, yang akan berkuat kuasa 1 Mei 2025.

Langkah ini dijangka menyumbang tambahan sebanyak RM5 bilion kepada hasil negara -- RM2.2 bilion daripada cukai jualan dan RM2.8 bilion daripada cukai perkhidmatan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata penambahbaikan ini dijangka meningkatkan hasil SST kepada RM51.7 bilion pada 2025, meningkat daripada unjuran semasa RM46.7 bilion.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata skop cukai perkhidmatan yang diperluaskan akan diumumkan pada awal 2025 sebelum dilaksanakan pada Mei. Skop ini bergantung kepada hasil sesi libat urus yang sedang dijalankan oleh Kementerian Kewangan dengan pihak berkepentingan.

 

Cukai keuntungan modal (CGT)

Diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 yang disemak semula dengan perincian tambahan diumumkan dalam Belanjawan 2024, kerajaan mengenakan CGT sebanyak 10 peratus ke atas penjualan saham syarikat tempatan yang tidak tersenarai, berkuat kuasa 1 Mac 2024.

Tawaran awam permulaan (IPO), penstrukturan semula dalaman dan pelaburan modal teroka menerima pengecualian untuk menggalakkan inovasi dan pelaburan.

Pada November 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan  berkata CGT dijangka menjana RM800 juta setiap tahun.

 

E-Invois

Dirancang dalam Belanjawan 2023 yang disemak semula dan dijelaskan dengan terperinci dalam Belanjawan 2024, kerajaan mengumumkan pelaksanaan e-invois yang bertujuan meningkatkan pematuhan dalam kalangan pembayar cukai dan mengurangkan ketirisan.

Perniagaan yang memiliki pendapatan tahunan melebihi RM100 juta akan melaksanakan e-invois  mulai 1 Ogos 2024 manakala perniagaan dengan pendapatan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta akan berbuat demikian pada 1 Jan 2025.

E-invois akan diwajibkan kepada semua pembayar cukai mulai 1 Julai 2025.

 

Cukai barang bernilai tinggi (HVGT) 

Cukai barang bernilai tinggi (HVGT) mula diperkenalkan dalam Belanjawan 2023 sebagai cukai barangan mewah. Ia dijadualkan berkuat kuasa pada Mei 2024 dengan kadar antara lima hingga 10 peratus, namun pelaksanaannya ditangguhkan.

Cukai ini yang dijangka menjana RM700 juta setahun masih dalam kajian dasar dan perundangan, dan tidak diumumkan dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan pada Oktober lepas.

 

Cukai minimum global (GMT)

Diumumkan dalam Belanjawan 2024, cukai minimum global (GMT) adalah cukai 15 peratus yang dikenakan ke atas syarikat dengan pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta euro (1 euro = RM4.6719).

Seiring dengan inisiatif hakisan asas dan peralihan keuntungan oleh Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, cukai ini akan dilaksanakan pada 2025.

Menurut Belanjawan 2025, walaupun GMT dijangka menjana hasil tambahan, kerajaan bercadang untuk mengurangkan risiko pelaburan melalui insentif yang diperkemas, insentif bukan cukai baharu, dan kredit cukai pelaburan strategik.

 

Cukai dividen dan cukai gula 

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan turut mengumumkan bahawa pemegang saham individu yang meraih pendapatan dividen tahunan melebihi RM100,000 akan dikenakan cukai sebanyak dua peratus, bermula pada tahun taksiran 2025.

Pendapatan dividen daripada simpanan kerajaan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), unit amanah di bawah Permodalan Nasional Bhd (PNB), dan pendapatan dividen asing akan menerima pengecualian.

Sebagai sebahagian daripada strategi kesihatan awam, duti eksais terhadap minuman bergula akan dinaikkan sebanyak 40 sen setiap liter, menjadikannya kepada 90 sen setiap liter bermula 1 Jan 2025.

Cukai ini mula diperkenalkan pada kadar 40 sen setiap liter pada 2019, dan kadar berkenaan dinaikkan kepada 50 sen setiap liter pada 2024. Hasil tambahan yang dijana daripada cukai ini akan diperuntukkan bagi perbelanjaan kesihatan awam.

 

Cukai karbon 

Dalam pembentangan Belanjawan 2025, kerajaan mengumumkan akan memperkenalkan cukai karbon bagi industri besi, keluli dan tenaga menjelang 2026 bagi menggalakkan penggunaan teknologi rendah karbon.

Hasil cukai berkenaan akan digunakan untuk tujuan penyelidikan dan program berkaitan teknologi hijau.

Secara keseluruhan, untuk 2024, kerajaan menjangka hasil cukai -- sebagai penyumbang utama kepada hasil keseluruhan -- berjumlah RM241 bilion atau 74.8 peratus daripada jumlah hasil.

Melangkah tahun 2025, kerajaan mengunjurkan hasil cukai meningkat kepada RM259 bilion. Ia akan mengekalkan kedudukan sebagai sumber hasil terbesar, menyumbang 76.3 peratus daripada jumlah hasil atau 12.4 peratus daripada KDNK seperti yang dilaporkan dalam Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan