EKONOMI > BERITA

TRANSFORMASI HIJAU, LALUAN BAHARU DAN CROWDSTRIKE MEWARNAI SEKTOR PENERBANGAN 2024

15/12/2024 12:52 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

 

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Sektor penerbangan Malaysia menyaksikan pertumbuhan luar biasa tahun ini apabila perjalanan udara berkembang pesat selepas syarikat penerbangan berjaya memenuhi permintaan penumpang yang meningkat, sekali gus memacu pemulihan industri yang kukuh.

Ini di sebalik gangguan teknologi maklumat global daripada CrowdStrike dan syarikat penerbangan nasional, Malaysia Airlines yang terpaksa mengurangkan kekerapan penerbangan buat sementara berikutan kelewatan penyerahan pesawat Boeing.

Perjalanan udara turut dikejutkan oleh insiden gelora udara yang teruk membabitkan pesawat Singapore Airlines (SIA) penerbangan SQ321 di ruang udara Thailand yang dalam perjalanan ke Singapura dari London, menyebabkan seorang penumpang warga Britain maut. Insiden ini mencetuskan persoalan mengenai cara untuk mengelak gangguan penerbangan yang menakutkan itu daripada berulang lagi.

Dalam pada itu, terdapat berita baik apabila juruterbang Malaysia Airlines mendapat pujian di media sosial kerana kecekapan mereka mendaratkan pesawat di Lapangan Terbang Heathrow di London pada 8 Disember lepas walaupun menghadapi tiupan angin kencang akibat ribut Darragh.

Dalam negara, AirAsia menjadi tumpuan apabila memperkenalkan destinasi baharu termasuk ke Nairobi bulan lepas dan ke Almaty, Kazakhstan pada Mac manakala syarikat induknya, Capital A mengemukakan cadangan untuk keluar daripada status PN17.

Mengenai MYAirline yang dibelenggu masalah kewangan hingga mengakibatkan operasinya digantung, dan cuba untuk memulihkan operasi, berterusan apabila pelabur berpotensi dari Asia Barat menarik diri.

Selain itu, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengumumkan syarikat penerbangan nasional Britain, British Airways akan memulakan penerbangan ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan berita itu dianggap amat memberangsangkan.

Namun, laporan terbaharu menyatakan pelancaran penerbangan itu telah ditangguhkan sehingga April 2025.

 

Kontroversi pembelian kepentingan dalam MAHB oleh GIP

MAHB telah menarik perhatian banyak pihak berikutan kontroversi mengenai pemilihan Global Infrastructure Partners (GIP) yang berpangkalan di New York untuk mengambil bahagian dalam penstrukturan semula kepentingan pengendali lapangan terbang itu.

Kontroversi itu timbul kerana GIP yang dimiliki oleh Blackrock dilaporkan sebagai pengurus aset terbesar dunia dengan pelaburan besar secara langsung di Israel, yang sejak Oktober 2023, telah menyerang Palestin tanpa belas kasihan, menyebabkan kematian ribuan rakyat Palestin yang tidak berdosa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menepis kritikan terhadap perjanjian itu berkata syarikat asing hanya memiliki 27 peratus pegangan saham awam sedia ada dan MAHB masih memegang kepentingan tempatan dengan pengerusi dan ketua pegawai eksekutifnya adalah rakyat Malaysia.

Mengenai perjalanan udara ke dan dari Malaysia, sektor ini berkembang dengan amat memberangsangkan dengan jumlah trafik penumpang bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini mencecah 80.3 juta.

Menurut Suruhanjaya Penerbangan Malaysia, ini membolehkan Malaysia mencapai sasaran 95.4 juta hingga 97.6 juta penumpang pada akhir tahun ini. 

Prospek untuk industri penerbangan Malaysia kekal positif pada tahun depan dengan pertumbuhan kukuh dijangka berterusan. Syarikat penerbangan dijangka menambah laluan domestik dan antarabangsa, memanfaatkan pasaran baharu dan meningkatkan rangkaian serantau.

 

Dasar Langit Terbuka dan liberalisasi penerbangan

Pakar ekonomi dalam bidang penerbangan dan aeroangkasa di Institut Teknologi Penerbangan Malaysia (MIAT), Universiti Kuala Lumpur, Prof Madya Mohd Harridon Mohamed Suffian berharap Konsep Langit Terbuka akan mendapat perhatian dalam kalangan negara ASEAN tahun depan.

"Liberalisasi dalam sektor penerbangan akan membolehkan pengguna mendapat akses kepada pelbagai pakej pelancongan dan dapat memenuhi keperluan mereka dengan lebih baik," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun, sektor itu perlu bersedia untuk berdepan dengan cabaran yang berterusan, termasuk ketidaktentuan ekonomi global dan ketegangan geopolitik yang boleh memberi impak kepada permintaan terhadap perjalanan.

Peningkatan kos bahan api dan inflasi juga boleh menjejaskan perbelanjaan operasi.

Bagi memastikan kecekapan kos dan menangani harga bahan api, kerajaan, pengendali lapangan terbang dan syarikat penerbangan akan memberi tumpuan kepada melaksanakan inisiatif mesra alam, merupakan langkah transformatif ke arah masa depan yang lebih hijau bagi industri penerbangan.

 

Menambah laluan, pesawat dan perkhidmatan MRO

AirAsia memperluas rangkaian domestiknya, menambah 2,000 penerbangan mingguan dan 150,000 tempat duduk di 40 laluan utama pada akhir 2024. Ia turut memperkenalkan 39 laluan baharu di seluruh ASEAN dan Asia Tengah.

Syarikat penerbangan tambang rendah, Thai VietJet dan China 9 Air pula dijangka memulakan operasinya pada akhir tahun ini. 

Ketika ini, KLIA mengendalikan lebih 70 syarikat penerbangan, mengatasi paras sebelum pandemik sebanyak 69 syarikat penerbangan.

Malaysia Airlines turut mengumumkan rancangan untuk memperkenalkan penerbangan terus ke Lapangan Terbang Charles de Gaulle di Paris bermula 22 Mac 2025.

Batik Air Malaysia dilihat sebagai syarikat penerbangan pertama Malaysia yang melancarkan perkhidmatan penerbangan antara Dili, Timor Leste dan Kuala Lumpur menjelang suku pertama tahun depan.

Dari segi penambahan pesawat, AirAsia menstruktur semula tempahannya bagi 362 pesawat Airbus A321neo, menukar 36 tempahan kepada model A321LR (jarak jauh) dengan penyerahan bermula pada 2025, membolehkan syarikat penerbangan itu meningkatkan keupayaan pesawatnya dengan model A321XLR dan A321LR.

Syarikat induk Malaysia Airlines, Malaysia Aviation Group (MAG) pula telah menerima pesawat A330neo pertamanya pada 29 November lepas.

Peningkatan jumlah pesawat turut menyumbang kepada pertumbuhan industri penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO).

Penerima manfaat utamanya ialah Asia Digital Engineering Sdn Bhd (ADE) yang telah melancarkan 14 ruang hangar pada 26 September, hangar terbesar di negara ini dan dijangka menjana pendapatan asing tambahan kepada negara.

Ini diperkukuhkan lagi dengan operasi pesawat lorong tunggal oleh enam syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) di Subang, yang sebelum ini menamatkan operasi pesawat jet pada 2002.

 

Malaysia mempertingkat inisiatif penerbangan mampan

Pelan Tindakan Penyahkarbonan Penerbangan Malaysia yang dilancarkan pada 5 September ialah inisiatif utama kerajaan bertujuan mempercepatkan komitmen terhadap pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 bagi sektor penerbangan.

MAG menandatangani memorandum persefahaman dengan Airbus pada 19 Februari tahun ini bagi menjalin kerjasama untuk mengadakan kajian komprehensif dalam mengurangkan pelepasan karbon.

AirAsia turut bekerjasama dengan Airbus untuk melaksanakan kajian mendalam mengenai inisiatif penerbangan mampan bertujuan mengurangkan pelepasan karbon di rantau ASEAN.

Lapangan terbang antarabangsa di Kota Kinabalu dan Langkawi berjaya memperoleh Pemetaan Akreditasi Karbon Lapangan Terbang Tahap 1 pada November, menyertai KLIA dan lebih 600 lapangan terbang global menuju ke arah pelepasan sifar bersih.

 

Caj baharu dan perlindungan pengguna

Tahun ini turut menyaksikan pengenalan Caj Perkhidmatan Penumpang yang disemak semula.

Selain melindungi pengembara udara, Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016 mewajibkan syarikat penerbangan membuat bayaran balik kepada pengguna mengikut kaedah pembayaran asal dalam tempoh 30 hari.

 

CrowdStrike dan kelewatan penerbangan

Serangan komputer CrowdStrike pada 19 Julai mengakibatkan gangguan perjalanan besar-besaran di Eropah terutama lapangan terbang di Jerman, Amerika Syarikat dan Australia serta sistem tempahan dan daftar masuk AirAsia.

Kejadian itu menunjukkan syarikat penerbangan dan lapangan terbang terdedah kepada gangguan komputer yang boleh menyebabkan berlakunya bencana global.

Walaupun perkara itu reda, MAG kembali menjadi perhatian kerana kelewatan penerbangan pesawat Firefly di LTSAAS dan Malaysia Airlines di KLIA serta aduan daripada penumpang perkongsian kod.

Kumpulan itu turut terjejas dengan kelewatan penyerahan pesawat Boeing 737-8 pada tahun ini, menyebabkan mereka mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah penerbangan dan laluan antara Ogos dan Disember 2024.

Acara utama yang perlu diberi perhatian pada tahun depan termasuklah penyambungan semula sistem pemindahan orang automatik (Aerotrain) di KLIA pada Januari, perkembangan penstrukturan MAHB, kemajuan pelan keluar daripada PN17 oleh Capital A dan ketibaan syarikat penerbangan baharu di KLIA, termasuk British Airways.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan