KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Jumlah dagangan Malaysia pada November 2024 meningkat sebanyak 2.9 peratus kepada RM237.8 bilion berbanding RM231.1 bilion setahun lepas, dipacu oleh pertumbuhan eksport dan import, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).
Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata prestasi ini didorong oleh pertumbuhan eksport sebanyak 4.1 peratus atau RM5.0 bilion manakala import naik 1.6 peratus kepada RM111.3 bilion.
Lebihan dagangan meningkat sebanyak 26.3 peratus kepada RM15.3 bilion yang merupakan lebihan bulan ke-55 berturut-turut sejak Mei 2020.
“Prestasi eksport Malaysia meningkat selaras dengan kenaikan eksport domestik pada November 2024. Eksport domestik (83.3 peratus daripada jumlah eksport) meningkat 10.3 peratus berbanding November 2023,” katanya dalam kenyataan Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia bagi November 2024 yang dikeluarkan hari ini.
Mohd Uzir berkata manakala eksport semula (16.7 peratus daripada jumlah eksport) susut 18.7 peratus kepada RM21.2 bilion.
Beliau berkata eksport lebih tinggi disumbangkan terutamanya ke Amerika Syarikat (+RM7.4 bilion) dan diikuti oleh Taiwan (+RM2.5 bilion), Kenya (+RM645.2 juta), India (+RM497.9 juta), Bangladesh (+RM382.4 juta), Mexico (+RM265.9 juta) dan New Zealand (+RM220.9 juta).
Selain itu, peningkatan import pula terutamanya dari China (+RM2.3 bilion), Taiwan (+RM2.1 bilion), Mexico (+RM784.5 juta), Chad (+RM659.8 juta), India (+RM460.6 juta), Switzerland (+RM410.8 juta) dan Cameroon (+RM375.3 juta).
Peningkatan itu melibatkan barangan elektrik dan elektronik (+RM6.6 bilion), keluaran pertanian lain (+RM536.1 juta), minyak sayuran lain (+RM358.1 juta), makanan diproses (+RM286.8 juta), gas asli cecair (+RM189.6 juta) serta keluaran perkilangan lain (+RM185.1 juta).
Berbanding tempoh Oktober 2024, Mohd Uzir berkata eksport, import dan jumlah dagangan masing-masing mencatat penurunan 1.2 peratus, 4.3 peratus dan 2.7 peratus dan sebaliknya, imbangan dagangan meraih pertumbuhan sebanyak 28.8 peratus.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial