Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Industri telekomunikasi Malaysia menyaksikan aktiviti yang rancak pada 2024 ketika negara memulakan pelaksanaan rangkaian 5G keduanya.
Ini susulan pencapaian lebih 80 peratus liputan kawasan berpenduduk (CoPA).
Sehingga akhir Oktober, liputan 5G negara bagi kawasan berpenduduk mencapai 82.1 peratus, peningkatan daripada 80.2 peratus tahun sebelumnya, mencerminkan usaha padu Digital Nasional Bhd (DNB).
Sementara itu, liputan internet di kawasan berpenduduk bertambah baik kepada 98.38 peratus, meningkat daripada 97.07 peratus pada 2023.
Walaupun terdapat berita menarik dan perkembangan positif berkaitan rangkaian 5G kedua, industri telekomunikasi secara keseluruhan bergerak pada kadar yang lebih perlahan tahun ini.
Penganalisis utama GlobalData Technology Alfie Amir berkata secara keseluruhannya, kemajuan sektor telekomunikasi Malaysia agak perlahan berbanding pasaran lain, termasuk negara-negara jirannya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini turut menzahirkan kekecewaannya dengan kelewatan pelaksanaan rangkaian 5G kedua.
Rangkaian 5G Kedua kepada U Mobile
Pada 1 Nov, kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mengumumkan bahawa rangkaian 5G kedua di Malaysia akan dilaksanakan oleh U Mobile Sdn Bhd.
Keputusan ini adalah susulan daripada penilaian teknikal dan komersial terperinci untuk memilih pengendali rangkaian mudah alih (MNO) bagi projek tersebut.
Mengulas mengenai keputusan itu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan pemilihan tersebut adalah berdasarkan pelbagai faktor, termasuk rancangan perniagaan dan teknikal MNO, kepuasan pelanggan dan rekod aduan, dan prestasi dalam melaksanakan projek infrastruktur lain.
Prestasi itu juga termasuk sumbangan kepada projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP), seperti JENDELA Fasa Satu dan inisiatif penaikan taraf 4G, yang sejajar dengan komitmen SKMM untuk meningkatkan pengalaman pengguna dan kualiti perkhidmatan.
Sementara itu, Alfie bekata pemilihan U Mobile sebagai pengendali rangkaian kedua tidak dijangka memberi kesan ketara kepada keseluruhan pasaran telekomunikasi di Malaysia, kerana pengendali lain sudah menawarkan perkhidmatan 5G melalui rangkaian pertama.
“Bagi U Mobile, menggunakan infrastruktur 5Gnya sendiri memberikan beberapa manfaat termasuk kawalan yang lebih besar ke atas infrastruktur, perkongsian, makmal inovasi, liputan, ciri 5G dan penyepaduan dengan sistem sedia ada.
"Ini akan membolehkan syarikat memperoleh kelebihan daya saing dalam kedua-dua segmen perusahaan dan pengguna," katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata pelaksanaan 5G adalah proses intensif melibatkan perbelanjaan modal yang boleh mengekang kewangan U Mobile, terutamanya kerana syarikat itu tidak mempunyai penguasaan kukuh dalam segmen perusahaan dan perindustrian.
DNB masih meneraju landskap 5G
Pada April, DNB melantik lima ahli lembaga pengarah baharu yang terdiri daripada pemimpin kanan daripada industri telekomunikasi dan teknologi.
Pelantikan itu adalah susulan daripada perjanjian langganan saham (SSA) yang ditandatangani antara DNB, Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan lima MNO pada 1 Dis 2023.
Ahli lembaga pengarah baharu itu termasuk Datuk Kamal Khalid (Infranation Sdn Bhd daripada CelcomDigi), Uthaya Kumar K Vivekananda (Maxis Broadband Sdn Bhd), Chang Yit Fei dan Tan Kok Leong (U Mobile Sdn Bhd), Nik Azli Abu Zahar dan Mohamed Tajul Mohamed Sultan (Telekom Malaysia Bhd), dan Datuk Seri Yeoh Seok Hong serta Datuk Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek (YTL Power International Bhd).
Pada Jun, DNB mengumumkan SSA dimuktamadkan dengan empat MNO -- CelcomDigi Bhd (melalui Infranation Sdn Bhd), Maxis Broadband Sdn Bhd, U Mobile Sdn Bhd, dan YTL Communications Sdn Bhd (melalui YTL Power International Bhd).
Bagaimanapun, pada Ogos, DNB telah menamatkan SSA dengan Telekom Malaysia Bhd (TM) selepas permintaan dan rayuan TM untuk pelanjutan "tarikh henti lama sebelum syarat" ditolak.
Tarikh henti lama bagi TM adalah pada 21 Ogos, 2024, untuk mendapatkan kelulusan pemegang saham mengikut keperluan tadbir urusnya, tetapi ia gagal mematuhi garis masa tersebut.
Prospek bagi 2025
Pada masa depan, Alfie berpendapat walaupun persaingan yang semakin sengit, pengendali telekomunikasi dijangka meneroka peluang dalam segmen perusahaan untuk memacu hasil syarikat.
"Pengendali telekomunikasi perlu beralih daripada peringkat pembangunan ke peringkat penggunaan, memanfaatkan infrastruktur untuk menawarkan penyelesaian berasaskan rangkaian dan bukannya mempelbagaikan kepada perkhidmatan bukan rangkaian," katanya.
Pengendali juga dijangka memperlahankan usaha transformasi mereka dan menumpukan pada penyelesaian berasaskan rangkaian dan bukan sebaliknya meneruskan peranan penyedia teknologi maklumat (IT) yang lebih meluas.
“Selain itu, landskap dan inovasi 5G di Malaysia masih kekal kompleks. Walaupun model rangkaian borong dwi mempunyai manfaat, inovasi dan pembezaan perkhidmatan akan terus memberi cabaran kepada pengendali telekom.
"Ini termasuk keupayaan pembahagian rangkaian untuk 5G persendirian, pembezaan liputan, automasi rangkaian, kecerdasan buatan dan pertimbangan alam sekitar, sosial dan tadbir urus," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial