EKONOMI > BERITA

Pendapatan E-Dagang Malaysia Cecah RM918.2 Bilion Pada Sembilan Bulan Pertama 2024

19/12/2024 03:46 PM

KUALA LUMPUR, 19 Dis (Bernama) -- Pendapatan e-dagang Malaysia mencatatkan pertumbuhan empat peratus kepada RM918.2 bilion dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, dengan jumlah tertinggi dicapai pada suku kedua bernilai RM309.8 bilion, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DoSM).

Bagaimanapun, pendapatan e-dagang pada suku ketiga 2024 mencatatkan sedikit penurunan sebanyak 0.6 peratus kepada RM307.9 berbanding suku kedua.

“Meskipun demikian, e-dagang masih kekal sebagai tonggak penting dalam landskap ekonomi Malaysia,” kata Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dalam satu kenyataan hari ini.  

Pada 2023 industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan e-dagang menjana nilai ditambah sebanyak RM427.7 bilion berbanding RM411.6 bilion pada tahun 2022, dengan pertumbuhan 3.9 peratus.

Sementara itu, sumbangan ICT dan e-dagang kepada ekonomi negara meningkat kepada 23.5 peratus berbanding 22.9 peratus pada 2022, didorong oleh Nilai Ditambah Kasar Industri Teknologi Maklumat dan Komunikasi (NDTMK) sebanyak 13.8 peratus dan e-dagang industri lain sebanyak 9.6 peratus.

“Sebagai kesimpulan, laporan Ekonomi Digital Malaysia 2024 menekankan pertumbuhan berterusan dan kepentingan ekonomi digital yang dipacu oleh e-dagang dan sektor ICT.

“Penemuan ini menunjukkan peningkatan berterusan sumbangan ICT kepada ekonomi negara, dengan pertumbuhan ketara dalam perkhidmatan ICT dan juga aktiviti e-dagang,” katanya. 

Penggunaan ICT yang meluas dalam kalangan perniagaan dan isi rumah turut mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam landskap digital global, sekali gus menyerlahkan potensi negara untuk terus berinovasi dan berkembang dalam ekonomi digital

Pada 2023, Banci Ekonomi (BE2023) bagi tahun rujukan 2022 telah dilaksanakan yang meliputi semua pertubuhan perniagaan aktif merentasi semua sektor ekonomi dengan sebanyak 78,236 pertubuhan terlibat dalam transaksi e-dagang, menjana pendapatan mencapai nilai RM1.13 trillion.

Bagi pecahan pendapatan e-dagang mengikut segmen pasaran, hasil yang dijana daripada pasaran domestik mengatasi pasaran antarabangsa, menyumbang lebih RM1 trillion iaitu merangkumi 89.1 peratus sumbangan.

Manakala sumbangan kepada pasaran antarabangsa berjumlah RM123.4 bilion, menyumbang 10.9 peratus.

Selain itu, pendapatan e-dagang mengikut jenis pelanggan melalui Perniagaan kepada Perniagaan (B2B) mencatatkan pendapatan tertinggi berjumlah RM786.5 bilion dengan sumbangan 69.8 peratus, diikuti Perniagaan kepada Pengguna (B2C) RM312.6 bilion (27.7 peratus) dan Perniagaan kepada Kerajaan (B2G) RM27.8 bilion (2.5 peratus).

Sementara itu, dapatan daripada kaji selidik 2023 menunjukkan bahawa 99.3 peratus isi rumah di Malaysia mempunyai akses kepada telefon bimbit.

Dari segi penggunaan telefon, 97.6 peratus lebih memilih menggunakan telefon pintar, manakala 16.3 peratus isi rumah masih mempunyai capaian ke atas telefon biasa.

Selain itu, 96.4 peratus isi rumah mempunyai capaian akses internet dan 91.6 peratus memiliki komputer.

“Jalur lebar mudah alih merupakan pilihan utama untuk akses internet (95.3 peratus) berbanding jalur lebar tetap (47.1 peratus).

“Di kawasan bandar, 98.4 peratus isi rumah mempunyai akses internet, berbanding 89.8 peratus di kawasan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, penggunaan ICT oleh individu pada tahun 2023 menunjukkan 80.4 peratus individu menggunakan komputer, dengan 86.0 peratus di kawasan bandar dan 63.6 peratus di kawasan luar bandar. 

Putrajaya mencatatkan peratusan tertinggi penggunaan komputer dan akses kepada internet oleh individu, masing-masing sebanyak 97.7 peratus dan 99.9 peratus.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan