EKONOMI > BERITA

Bursa Malaysia Capai 55 IPO, Tertinggi Dalam Masa 19 Tahun

20/12/2024 09:32 PM

 KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia Bhd meraih pencapaian penting pada 2024 apabila sebanyak 55 tawaran awam permulaan (IPO) disenaraikan di bursa, iaitu jumlah penyenaraian tertinggi direkodkan dalam tempoh 19 tahun lepas.

Menurutnya prestasi luar biasa ini menyumbang peningkatan ketara sebanyak 72 peratus berbanding 32 IPO pada 2023.

“Ini menekankan daya tarikan Bursa Malaysia yang semakin meningkat sebagai rakan kongsi strategik kepada syarikat yang mahu meningkatkan profil dan mencari modal untuk memacu pertumbuhan dan pengembangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 55 IPO pada 2024 secara kolektif meraih hasil berjumlah RM7.42 bilion, menunjukkan peningkatan 107 peratus daripada tahun sebelumnya manakala permodalan pasaran berjumlah RM31.37 bilion, menokok 130 peratus berbanding tahun lepas, katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Muhamad Umar Swift berkata jumlah IPO yang tinggi tahun ini menggambarkan usaha berterusan pengawal selia pasaran modal untuk menyediakan kerangka kawal selia memudahkan yang meningkatkan daya saing dan relevan pasaran.

“Minat daripada pelabur dalam IPO, kadar lebihan langganan yang baik dan kenaikan harga saham menunjukkan keyakinan terhadap prospek pertumbuhan syarikat ini.

“Bursa Malaysia berbangga menduduki tempat pertama dalam kalangan bursa ASEAN setakat ini pada tahun ini dari segi jumlah IPO yang direkodkan dan jumlah dana IPO diraih,” katanya dalam kenyataan sama.

Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar pula berkata, hasil daripada IPO itu membolehkan syarikat mengembangkan perniagaan, meningkatkan ekonomi, menjana keuntungan lebih tinggi, membayar dividen kepada pemegang saham, menyumbang hasil cukai kepada kerajaan dan mewujudkan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia.

“Pada masa hadapan, kami komited untuk mengekalkan momentum IPO yang kukuh ketika kami melangkah menuju 2025,” katanya.

Menurut kenyataan itu, jumlah IPO yang tinggi pada 2024 antaranya disumbangkan oleh beberapa inisiatif utama Bursa Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) iaitu komitmen untuk mempercepat kelulusan IPO di Pasaran Utama dan Pasaran ACE, dengan menyasarkan tempoh kelulusan selama tiga bulan.

Inisiatif lain adalah memperluas definisi pelabur bernilai bersih tinggi untuk Pasaran LEAP dengan memasukkan pelabur mangkin, pemodal teroka dan firma ekuiti persendirian berdasarkan ilmu dan pengalaman mereka; dan Rangka Kerja Pemindahan Pasaran LEAP untuk memudahkan syarikat yang disenaraikan di Pasaran LEAP berpindah ke Pasaran ACE.

Penekanan penting berkaitan IPO lain pada 2024 turut merangkumi pertumbuhan ketara jumlah IPO untuk pelbagai saiz dan tempoh matang syarikat, kata Bursa Malaysia.

Pasaran Utama merekodkan 11 penyenaraian, meningkat 57 peratus daripada tujuh IPO tahun lepas manakala Pasaran ACE melibatkan 40 penyenaraian, menokok 67 peratus berbanding 24 penyenaraian pada 2023.

Pasaran LEAP pula menyaksikan empat penyenaraian, menunjukkan peningkatan 300 peratus berbanding satu penyenaraian tahun lepas.

“Lima IPO terbesar di Bursa Malaysia secara kolektif menyumbang sebanyak RM20.32 bilion dalam permodalan pasaran kepada bursa berkenaan berdasarkan harga IPO mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan