EKONOMI > BERITA

Indeks Sentimen PKS Cecah Paras Tertinggi Pada Separuh Kedua 2024

24/12/2024 06:12 PM

KUALA LUMPUR, 24 Dis (Bernama) -- Indeks Sentimen Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) meningkat ke paras 55.8 dalam separuh kedua 2024 berbanding 54.7 dalam separuh pertama, demikian menurut SME Bank Malaysia Bhd.

Dalam kenyataannya hari ini, bank itu menyatakan peningkatan itu adalah yang ketiga berturut-turut bagi indeks berkenaan dan mencatat skor tertinggi sejak kajian itu dimulakan.

Prestasi itu juga, katanya, memaparkan peningkatan keyakinan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata trend peningkatan itu mencerminkan pertumbuhan ekonomi yang lebih baik, jangkaan jualan yang kukuh serta perancangan yang diperbaharui untuk pengembangan dan penciptaan peluang pekerjaan.

“Ini mengukuhkan lagi peranan kritikal PMKS dalam trajektori ekonomi Malaysia yang juga selari dengan fokus Kerajaan MADANI terhadap pertumbuhan mampan dan inklusif, khususnya dalam mewujudkan prospek positif untuk PMKS terus maju dalam persekitaran perniagaan yang sentiasa berubah dan kompetitif,” katanya.

Mohammad Hardee turut memberi jaminan sebagai antara institusi kewangan pembangunan terkemuka di Malaysia yang diberi mandat untuk memperkasakan PMKS, SME Bank komited untuk terus memberi nilai kepada PMKS yang melangkaui pembiayaan.

“Momentum positif yang direkodkan dalam kajian ini sekali lagi menekankan kedudukan PMKS sebagai segmen penting dalam ekonomi kita yang menyumbang secara signifikan kepada trajektori pertumbuhan Malaysia,” katanya.

Sementara itu Ketua Pakar Ekonomi SME Bank Lynette Lee Li Qing berkata ekonomi Malaysia terus berkembang pada kadar 5.2 dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024.

Sentimen itu juga, katanya, selari dengan jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) lebih baik bagi 2025 dengan SME Bank menjangkakan ekonomi berkembang 4.5 peratus hingga 5.5 peratus.

“Petunjuk lain seperti Kajian Kecenderungan Perniagaan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia turut mengunjurkan keadaan perniagaan lebih baik dalam beberapa bulan akan datang.

“Walaupun (sentimen) optimis itu makin meningkat, PMKS terus berdepan cabaran seperti tekanan kos yang lebih tinggi dan terdedah kepada turun naik kadar pertukaran akibat peningkatan aktiviti import dan eksport yang berpotensi memberi kesan kepada margin keuntungan jika tidak diurus dengan efektif,” katanya.

Kajian bagi tempoh Ogos hingga November 2024, mencatatkan rekod tertinggi dengan penglibatan 1,485 responden berbanding 1,295 orang pada separuh pertama selain melibatkan peserta dari semua negeri di Malaysia yang mewakili pelbagai sektor dan saiz perniagaan.

Aspek itu merangkumi usaha aspek pengumpulan data bernilai mengenai pandangan dan pengalaman PMKS serta menawarkan gambaran makro terhadap persekitaran perniagaan yang menjadi penanda aras prestasi ekonomi masa hadapan secara keseluruhan, kata SME Bank.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan