EKONOMI > BERITA

Bank Islam Lepasi Sasaran Awal RM4 Bilion, Mendahului Sasaran 2025

26/12/2024 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) melepasi sasaran awal RM4 bilion dengan mencatatkan RM4.8 bilion dalam pembiayaan hijau, mendahului sasaran 2025 yang ditetapkan.

Menurutnya pencapaian ini menonjolkan peranannya dalam memacu ekonomi hijau negara.

“Selaras dengan kejayaan ini, Bank Islam telah menetapkan sasaran lebih tinggi untuk meningkatkan portfolio pembiayaan mampannya kepada RM28 bilion menjelang akhir 2025,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebagai peneraju pembiayaan mampan patuh Syariah, bank ini bertekad untuk mempercepatkan pertumbuhan ekonomi hijau Malaysia di samping mencipta impak berpanjangan terhadap perniagaan, masyarakat dan alam sekitar.

Menurut Bank Islam, antara elemen utama dalam strategi kemampanan Bank Islam adalah Akaun Pelaburan Mampan Ihsan (ISIA) yang dilancarkan pada 2023.

Ia merupakan pendekatan transformasi dalam portfolio pelaburan pelbagai aset bukan runcit yang menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan selaras dengan Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip Bank Negara Malaysia.

Bank Islam turut menyokong peralihan Malaysia ke arah penggunaan tenaga bersih dengan membiayai projek tenaga boleh baharu (TBB) seperti solar dan hidro, seiring dengan matlamat Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Inisiatif kewangan hijau Bank Islam merupakan pemacu teguh yang membawa kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif, katanya.

“Bank ini memupuk penciptaan pekerjaan, menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana, perniagaan tani dan komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam Datuk Mohd Muazzam Mohamed berkata komitmen bank berkenaan terhadap kewangan hijau bukan sekadar pematuhan kawal selia tetapi usaha untuk mewujudkan perubahan positif yang akan membentuk ekonomi Malaysia untuk generasi akan datang.

"Dengan memberi tumpuan kepada penyelesaian pembiayaan mampan, kami bukan sahaja menyokong industri penting demi masa depan Malaysia seperti TBB dan pembuatan, tetapi juga memastikan kami melindungi alam sekitar untuk generasi akan datang," katanya.

Mengukuhkan lagi komitmen terhadap kemampanan, Bank Islam baru-baru ini menjadi bank pertama di Malaysia yang melahirkan 86 Penasihat Kewangan Hijau Bertauliah (CGFA) melalui program latihan komprehensif yang dibangunkan dengan kerjasama Asian Banking School.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan