EKONOMI > BERITA

Kendali DAX Secara Haram, SC Kenakan Tindakan Celaan Terhadap Bybit

27/12/2024 12:47 PM

KUALA LUMPUR, 27 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) telah mengenakan tindakan celaan terhadap Bybit Technology Limited (sebelum ini dikenali sebagai Bybit Fintech Limited) (Bybit) dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Ben Zhou (Yuchen Zhou) kerana mengendalikan pertukaran aset digital (DAX) di Malaysia tanpa pendaftaran.

Dalam kenyataan hari ini, SC berkata Bybit dan Ben Zhou telah disenaraikan dalam Senarai Makluman Pelabur SC sejak Julai 2021.

Susulan tindakan penguatkuasaan itu, SC telah mengarahkan Bybit untuk menutup laman web dan aplikasi mudah alihnya atau mana-mana platform aplikasi digital lain di Malaysia dalam tempoh 14 hari perniagaan dari tarikh 11 Dis, 2024.

“SC juga telah mengarahkan Bybit untuk berhenti mengedar, menerbitkan atau menghantar sebarang iklan sama ada dalam siaran media sosial atau sebaliknya kepada pelabur Malaysia dengan serta-merta dan segera menamatkan kumpulan sokongan Telegram Bybit untuk rakyat Malaysia,” katanya.

Suruhanjaya itu berkata CEO Bybit juga telah diarah untuk memastikan semua itu dipatuhi.

Keputusan itu dibuat berikutan wujudnya kebimbangan mengenai pematuhan platform terbabit terhadap keperluan kawal selia tempatan selain demi melindungi kepentingan pelabur.

“SC memandang serius pelanggaran ini kerana mengendalikan DAX tanpa mendapatkan pendaftaran SC sebagai pengendali pasaran diiktiraf (RMO) adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 7(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007,” katanya.

Sehingga kini, Bybit telah mematuhi semua arahan SC.

Dalam pada itu, SC juga mengingatkan pelabur untuk melabur dan hanya berurusan dengan pengendali pasaran diiktiraf yang berdaftar dengan suruhanjaya itu.

Ini berikutan RMO berdaftar telah menjalani penelitian kawal selia yang ketat selain dikehendaki mematuhi garis panduan ketat agar pelabur dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia.

“Mereka yang melabur dalam entiti atau individu tidak berlesen atau tidak berdaftar, tidak dilindungi di bawah undang-undang sekuriti Malaysia. Oleh itu, (mereka) terdedah kepada risiko seperti penipuan dan pengubahan wang haram.

“Orang ramai harus memaklumkan SC jika menemui mana-mana laman web mencurigakan atau menerima sebarang panggilan telefon atau emel yang menawarkan skim pelaburan tidak dibenarkan, terutama yang menjanjikan pulangan tinggi dengan sedikit atau tiada risiko,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan