Oleh Nurul Jannah Kamaruddin
KUALA LUMPUR, 28 Dis (Bernama) -- Ringgit dijangka menunjukkan penurunan minggu depan ketika tempoh terakhir dagangan tahun ini dan permulaan dagangan 2025, dengan pergerakan mungkin berada dalam julat antara 4.47 hingga 4.50.
Rakan Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata mata wang negara Asia, termasuk ringgit, akan menghadapi tempoh dagangan berhati-hati kerana peserta pasaran mengambil petunjuk daripada isyarat yang tidak menentu dan kebimbangan geopolitik semasa ketika minggu dagangan lembap.
Beliau berkata dolar Amerika Syarikat (AS) cenderung mengalami kelemahan secara bermusim pada masa ini namun, tarif yang kemungkinan besar dikenakan oleh Presiden dipilih AS Donald Trump, telah mewujudkan ketidakpastian tambahan.
“Secara tempatan, pelabur juga mengekalkan sikap berhati-hati berikutan kebimbangan terhadap isu-isu ekonomi China, terutama penerbitan bon khas US$411 bilion yang dijadualkan tahun depan dan potensi kesannya terhadap permintaan pengguna.
“Ketidaktentuan ini telah menjejaskan ringgit,” katanya kepada Bernama.
Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors, Mohd Sedek Jantan turut menjangkakan pergerakan ringgit yang lebih rendah minggu depan berikutan jangkaan pendekatan berhati-hati Rizab Persekutuan AS.
Beliau berkata jangkaan pasaran mengenai hanya dua kali pengurangan kadar faedah AS pada 2025 akan menyokong dolar AS.
“Menjelang 2025, mata wang negara Asia diunjurkan lemah berbanding dolar AS dalam tempoh enam bulan pertama, didorong oleh reaksi pasaran terhadap pemilihan semula Trump dan jangkaan tarif perdagangan.
“Sejak kemenangan Trump pada awal November, Indeks Dolar AS telah meningkat kukuh secara berterusan kira-kira 4.0 peratus kepada 107.6, paras tertinggi dalam tempoh dua tahun, mencerminkan jangkaan mengenai kemungkinan tarif ke atas rakan dagang AS,” katanya.
Sepanjang minggu ini, ringgit kekal diniagakan tinggi berbanding dolar AS, didorong oleh harga minyak mentah yang lebih tinggi, sebelum ditutup hampir tidak berubah pada Jumaat.
Berasaskan Jumaat ke Jumaat, ringgit mengukuh berbanding dolar AS kepada 4.4680/4750 daripada 4.5055/5100 minggu lepas.
Bagi minggu ini, mata wang tempatan diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.
Ringgit meningkat berbanding pound British kepada 5.5904/5991 daripada 5.6328/6384 ketika ditutup minggu lepas.
Mata wang tempatan naik berbanding euro kepada 4.6543/6616 daripada 4.6776/6823, dan naik berbanding yen Jepun kepada 2.8300/8346 daripada 2.8747/8779 semasa ditutup minggu lepas.
Bagaimanapun, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN.
Unit domestik tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.2846/2900 daripada 3.3146/3181, dan lebih stabil berbanding rupiah Indonesia kepada 275.4/276.1 daripada 277.7/278.1.
Ringgit turun sedikit berbanding baht Thailand kepada 13.1023/1289 daripada 13.0670/0861 dan rendah berbanding peso Filipina kepada 7.72/7.74 daripada 7.66/7.67 minggu lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial