KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) -- Pemproses sarang burung MYMBN Bhd masih belum menilai sepenuhnya impak kewangan susulan daripada penggantungan sementara eksport produk sarang burung ke China.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya langkah penggantungan itu telah menjejaskan operasi, rantaian bekalan dan aliran perolehan berkaitan pasaran China sebagai antara destinasi eksport utamanya.
Berikutan penggantungan itu, sehingga kini, MYMBN tidak dapat memenuhi pesanan bernilai kira-kira RM2.50 juta.
“Bagaimanapun, syarikat terus menanggung kos overhed bulanan kira-kira RM92,000 walaupun langkah penggantungan itu dibuat," katanya.
Menurut syarikat, langkah segera telah dilaksanakan untuk menangani situasi ini, antaranya bekerjasama dengan badan pengawal selia untuk menyelesaikan isu yang menyebabkan penangguhan dan mempercepat penyelesaiannya.
Selain itu, MYMBN sedang meneroka strategi untuk memperkukuh kehadirannya di pasaran alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada China.
“Aliran kerja operasi kumpulan juga sedang dioptimumkan bagi menguruskan inventori dan tahap pengeluaran dengan cekap di samping mengekalkan kualiti produk," katanya.
Pada 26 Disember, MYMBN dalam makluman kepada Bursa Malaysia memaklumkan telah menerima notis daripada DVS berhubung penggantungan sementara eksport produk sarang burung ke China berkuat kuasa 25 Dis 2024.
Menurutnya penggantungan itu dilaksanakan susulan laporan wabak Newcastle Disease (ND) di Malaysia sebagaimana yang telah dilaporkan kepada Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (WOAH).
Bagaimanapun, DVS dalam kenyataan berasingan berkata tiada pengesanan penyakit itu pada premis dan produk sarang burung walet yang dipantau oleh jabatan itu hingga kini.
“Rentetan daripada penangguhan pengeksportan tersebut, 22 konsainan berjumlah 1.769 tan metrik bernilai RM7.23 juta, melibatkan 13 syarikat pengeksport berdepan masalah pelepasan di pintu masuk China,” menurut kenyataan itu.
China, melalui Jabatan Pentadbiran Am Kastam negara itu (GACC) meminta Malaysia menangguhkan sementara pengeksportan produk berkenaan berikutan laporan wabak ND atau penyakit sampar ayam yang dikesan pada ayam dan itik di Malaysia dalam tempoh Mac hingga Jun 2024 sebagaimana telah dilaporkan kepada WOAH, kata DVS.
Sehubungan itu, DVS berkata ia telah menghantar laporan terperinci berkenaan status wabak termasuk tindakan pengurusan wabak ND di Malaysia kepada GACC bagi menangani isu ini serta memberi jaminan untuk memastikan produk sarang burung walet yang dihantar ke China bebas daripada penyakit itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial