EKONOMI > BERITA

Ringgit Diunjur Pada RM4.45-RM4.55, FBM KLCI Pada 1,700-1,840 Pada 2025 - Firma Penyelidikan

02/01/2025 02:39 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Firma penyelidikan menjangka 2025 akan menjadi satu lagi tahun yang kukuh bagi ringgit dan Bursa Malaysia, dengan ringgit kekal stabil dan Bursa Malaysia mencatatkan pertumbuhan yang menggalakkan.

Kenanga Investment Bank (Kenanga IB) mengunjurkan ringgit akan mengakhiri tahun pada kadar RM4.45, membantu menarik perhatian terhadap pasaran Malaysia dan indeks barometer pada 1,840. 

“Suku pertama akan mempunyai pendekatan tunggu dan lihat berikutan pasaran saham ASEAN yang berhati-hati baru-baru ini mencerminkan ketidakpastian mengenai bagaimana ancaman tarif akan memberi impak, dengan jangkaan kadar dasar Amerika Syarikat (AS) yang lebih tinggi.

“Dua situasi ini sama seperti pada 2018 tetapi kali ini, Malaysia berada pada kedudukan yang lebih baik dari segi asasnya,” katanya.

Menurut Kenanga IB, walaupun terdapat ketidaktentuan, pelabur dijangka cenderung kepada pendapatan dan prospek yang jelas.

Ia mengunjurkan sektor pengguna akan menikmati kenaikan gaji minimum yang sejajar dengan pertumbuhan sektor pelancongan.

“Dari segi struktur, perkembangan kecerdasan buatan/pusat data menawarkan permintaan daripada peningkatan perbelanjaan modal syarikat teknologi besar global.

“Kami juga menapis nama-nama yang menawarkan pulangan dividen yang baik pada penilaian yang wajar berikutan kami percaya pelabur berkemungkinan akan mencari nilai selepas penurunan FBM KLCI baru-baru ini. Bank akan berada dalam kategori ini,” katanya.

Menurut Kenanga IB, petrokimia dan logam boleh menjadi lebih tidak menentu tetapi boleh menjana keuntungan daripada pertumbuhan permintaan seperti rangsangan ekonomi China.

Begitu juga, sektor penanaman dan sarung tangan dijangka menyaksikan pendapatan suku tahunan yang kukuh.

Sementara itu, Public Investment Bank (PIVB) menjangka ringgit akan berada pada purata RM4.45 - RM4.55 pada 2025 berikutan Rizab Persekutuan AS kekal berhati-hati terhadap penurunan kadar faedah yang seterusnya dan indeks barometer dijangka ditutup pada 1,700 mata.

“Pada pandangan kami, isu yang lebih mendesak ialah hutang negara AS yang tinggi dan tidak mampan. Pasaran mengambil kira premium risiko yang tinggi untuk Perbendaharaan AS, menjadikannya lebih mahal untuk AS meminjam lebih banyak.

“Sebanyak lebih 120 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kos untuk meningkatkan hutang telah mengatasi manfaatnya dalam memacu ekonomi berikutan akan terdapat kurang pembiayaan untuk membiayai pelaburan yang produktif,” katanya.

Katanya berdasarkan defisit belanjawan yang tinggi melebihi 6.0 peratus daripada KDNK negara, Jabatan Kecekapan Kerajaan AS menyasarkan untuk mengurangkan perbelanjaan kerajaan sebanyak US$2 trilion tetapi ini mungkin akan membawa kepada impak yang tidak baik seperti kehilangan pekerjaan dalam sektor awam.

“Walaupun dolar AS dijangka tidak digantikan sebagai mata wang rizab dunia dalam masa terdekat, dominasinya telah berkurangan dalam beberapa tahun ini daripada 70 peratus pada 2001 kepada 58 peratus pada masa ini.

“Hasil bon dijangka kekal tinggi, menunjukkan dolar AS yang kukuh dan ringgit yang rendah pada 2025,” menurut PIVB. 

Bank pelaburan itu menjangka langkah dasar Trump akan bermula pada suku kedua 2025, memberi kesan kepada perdagangan global dan ekonomi domestik AS pada separuh kedua 2025.

“Dengan pasaran yang berorientasikan perdagangan, kami percaya peluang untuk mengatasi pasaran akan datang daripada pendekatan menyeluruh dan membeli semasa rendah dalam persekitaran premium risiko yang meningkat apabila sebarang pengumuman mengenai langkah-langkah dasar yang tidak menggalakkan boleh mencetuskan reaksi segera dalam pasaran global.

“Kami memilih syarikat yang lebih bergantung kepada pertumbuhan yang dipacu oleh domestik dan kurang pada pasaran eksport,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan