KUALA TERENGGANU, 2 Jan (Bernama) -- Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) melalui anak syarikatnya EPIC OG Sdn Bhd (EOGSB) berjaya meraih kontrak utama selama lima tahun daripada anak syarikat milik penuh Petroliam Nasional Berhad, Petronas Carigali Sdn Bhd.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad Muhtar Suhaili berkata kontrak tersebut melibatkan penyediaan perkhidmatan penyelenggaraan, pentauliahan dan pengubahsuaian dan penyambungan dan pentauliahan Pan Malaysia bagi Pakej A2 (Aset Semenanjung Malaysia– Gas).
“Kontrak tersebut memperkukuh kedudukan EOGSB sebagai penyedia perkhidmatan diyakini yang berperanan menyokong kemampanan aset dan kecekapan operasi Petronas Carigali di Semenanjung Malaysia untuk memenuhi keperluan tenaga semasa dan pada masa hadapan.
“Syarikat berbangga dapat meraih kontrak daripada Petronas Carigali yang jelas menunjukkan komitmen kami dalam menyediakan perkhidmatan berkelas tinggi bagi sektor minyak dan gas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhtar berkata pencapaian itu bukan sahaja dapat mengukuhkan kedudukan syarikat sebagai salah satu peneraju dalam industri tenaga di Malaysia, tetapi juga sejajar dengan matlamatnya untuk menjana pertumbuhan lestari dan menjalin kerjasama jangka panjang bagi menyokong keperluan tenaga negara.
Menurutnya, kontrak yang akan berkuat kuasa sehingga September 2029 dengan pilihan lanjutan selama tiga tahun serta diikuti dua tahun tambahan itu, akan meletakkan EOGSB di kedudukan strategik untuk mencapai pertumbuhan mampan dan menjalin kerjasama jangka panjang dalam sektor minyak dan gas negara.
Beliau berkata EOGSB juga memiliki rekod prestasi cemerlang dalam mengendalikan projek penyelenggaraan minyak dan gas berskala besar serta kompleks yang mana sebelum ini syarikat tersebut telah dianugerahkan kontrak penyelenggaraan, pembinaan, dan pengubahsuaian Pan Malaysia (PM-MCM) bagi Pakej B2 oleh ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.
Kontrak bernilai RM500 juta itu berlangsung selama enam tahun termasuk satu tahun lanjutan, bermula 17 Julai 2018 sehingga 31 Disember 2024.
“Selain kontrak tersebut, EOGSB baru-baru ini juga dilantik sebagai kontraktor panel untuk Unit Operasi Hiliran Petronas bagi kerja-kerja pembinaan dan pengubahsuaian (CMW), selama tiga tahun dengan pilihan lanjutan selama satu tahun diikuti satu tahun lagi meliputi Pantai Timur, Pantai Barat, dan Selatan Malaysia.
“Pakej pembinaan dan pengubahsuaian (CMW) ini jelas membuktikan keupayaan syarikat dalam menguruskan projek bernilai tinggi secara cekap untuk operasi di pelbagai wilayah,” kata Muhtar.
Beliau berkata susulan kejayaan meraih pelbagai kontrak besar dan utama itu EPIC Berhad berada di haluan strategik untuk terus mengukuhkan kedudukannya dalam landskap tenaga Malaysia dan memperkasakan keterjaminan tenaga negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial