EKONOMI > BERITA

Etiqa Life Insurance Lantik Leong Su Yern Sebagai Ceo Baharu

02/01/2025 04:07 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Etiqa Life Insurance Bhd (ELIB) mengumumkan pelantikan Leong Su Yern sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) baharunya, berkuat kuasa 1 Jan, 2025.

Syarikat insurans itu dalam satu kenyataan hari ini berkata, bagi peranan baharunya, Leong akan melaporkan terus kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Etiqa Insurance dan Takaful Kamaludin Ahmad yang telah berkhidmat sebagai CEO sementara ELIB selepas persaraan Paul Low pada Disember 2023.

Kamaludin berkata Leong akan memacu pertumbuhan strategik, kewangan dan operasi ELIB untuk memaksimumkan nilai pemegang saham sambil mengutamakan kepentingan pelanggan.

"Selain itu, beliau akan mengawasi strategi pertumbuhan mampan, memastikan pematuhan peraturan dan menguruskan risiko."

"Kami juga berharap dapat melihat komitmennya terhadap inovasi, transformasi digital dan pembangunan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa depan yang disepadukan dalam operasi syarikat sambil menerapkan kelestarian dalam operasi dan strategi pelaburan bagi memastikan pertumbuhan jangka panjang," katanya.

Dalam pada itu, ELIB berkata Leong membawa lebih 23 tahun pengalaman dalam industri insurans dan merupakan ahli yang berdedikasi di Society of Actuaries.

Katanya, dengan lebih 18 tahun dalam peranan kepimpinan, beliau secara konsisten memacu pertumbuhan strategik dan kecemerlangan operasi.

"Leong menyertai Etiqa pada 2013 sebagai ketua penetapan harga untuk produk hayat dan keluarga, malah, beliau memastikan pematuhan peraturan dan membangunkan strategi penetapan harga untuk ELIB dan Etiqa Family Takaful Bhd.

"Pada 2022, beliau berkhidmat sebagai ketua pegawai produk di Maybank Ageas Holding Bhd sebelum dilantik ke ELIB untuk menyelia saluran jualan sebagai pengurus besar pada 2023," katanya.

Menurut ELIB, kepimpinan Leong memacu kejayaan projek yang signifikan termasuk mencapai pertumbuhan tenaga kerja agensi melebihi 40 peratus pada 2024 selain memupuk tenaga agensi bionik produktif yang berpegang kepada amalan beretika selain mencapai kejayaan jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan