EKONOMI > BERITA

AmInvestment Unjur RM1.7 Bilion Caruman KWSP Bukan Warganegara Pacu Pasaran Ekuiti

02/01/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- AmInvestment Bank Bhd mengunjurkan sumbangan mandatori Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh menyalurkan sehingga RM1.7 bilion dalam aliran masuk tahunan pasaran ekuiti domestik Malaysia.

Bank pelaburan itu dalam laporan sektornya berkata anggaran itu berdasarkan jumlah pekerja asing seramai 2.5 juta, dengan gaji bulanan minimum RM1,700, gabungan caruman KWSP pekerja dan majikan masing-masing sebanyak 11 peratus dan 13 peratus, serta andaian 14 peratus daripada aset KWSP akan mengalir ke dalam ekuiti domestik, seperti yang dinyatakan dalam laporan tahunan 2023 terkini.

Laporan itu juga menyatakan kadar sumbangan KWSP yang dicadangkan bagi pekerja bukan warganegara dengan kontrak pekerjaan yang baharu adalah sebanyak 11 peratus bagi pekerja dan 12-13 peratus bagi majikan, bergantung kepada pampasan gaji. 

Bagi pekerja yang mempunyai kontrak pekerjaan sedia ada, kadar caruman dicadangkan bermula pada dua peratus, meningkat secara berperingkat sehingga ia setara dengan kadar caruman pekerja Malaysia dalam tempoh enam tahun.

Pelaksanaan inisiatif ini tertakluk kepada pindaan Akta KWSP 1991.

Selain itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa syarikat pelaburan berkaitan kerajaan mengurangkan pelaburan di luar negara dan memberi lebih tumpuan kepada pasaran domestik.

AmInvestment berkata pasaran ekuiti domestik berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sebanyak satu peratus tahun ke tahun antara 2018 dan 2023, ketinggalan dengan ketara berbanding pertumbuhan enam peratus tahun ke tahun industri pengurusan dana dalam aset di bawah pengurusan (AUM).

“Ini didorong terutamanya oleh peningkatan pelaburan di luar negara, kerana bahagian domestik pasaran ekuiti menguncup sebanyak 17 mata peratusan kepada 57 peratus, antara 2018 dan 2023,” katanya.

Menurut bank pelaburan itu, pasaran yang lebih luas memberikan pulangan tahunan terbaiknya dalam tempoh 14 tahun pada 2024, terutamanya dalam sektor seperti teknologi dan perladangan, disebabkan oleh penjajaran semula rantaian bekalan yang dipacu tarif dan jangkaan harga minyak sawit mentah yang lebih kukuh disebabkan oleh bekalan yang terhad.

Ia juga percaya minat berstruktur dalam pusat data akan berterusan, seterusnya turut memberikan pandangan positif untuk sektor pembinaan dan hartanah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan