KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Maxis, penyedia perkhidmatan telekomunikasi terkemuka di Malaysia, bekerjasama dengan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) bagi pembangunan bersama penyelesaian 5G, dengan fokus pada inovasi dalam bidang penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Dalam kenyataan hari ini, Maxis memaklumkan bahawa dalam bidang penjagaan kesihatan, penyelesaian didayakan 5G yang mungkin berpotensi untuk diterokai termasuk pembedahan jarak jauh (tele-surgeri), tele-perubatan canggih, perundingan jarak jauh dan pemantauan kesihatan masa nyata.
Bagi pendidikan, penyelesaian mungkin dibangunkan untuk memudahkan dan meningkatkan pengalaman pembelajaran melalui persekitaran yang imersif dan penyampaian kandungan interaktif.
“Di luar dua bidang ini, penyelesaian bersama seperti keselamatan siber, teknologi hijau, dan inisiatif kampus pintar juga mungkin dibangunkan dengan memanfaatkan infrastruktur rangkaian Maxis,” menurut kenyataan tersebut.
Kerjasama ini dirasmikan melalui majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang diwakili masing-masing oleh Presiden UTAR Prof. Datuk Dr. Ewe Hong Tat, dan Ketua Pegawai Perniagaan Enterprise Maxis Prateek Pashine.
Maxis memaklumkan kerjasama ini meneruskan inisiatif terdahulu oleh Maxis Business sebagai rakan digital pilihan, dengan menyediakan sambungan menyeluruh dan penyelesaian tambahan untuk memacu penggunaan lebih meluas teknologi 5G dan 5G-Advanced dalam kalangan perniagaan di Malaysia
Prateek berkata Maxis berbangga untuk bekerjasama dengan rakan sejawat seperti UTAR bagi meneroka potensi teknologi 5G.
“Penjagaan kesihatan dan pendidikan adalah bidang kritikal yang memerlukan idea berasaskan masa depan, dan kolaborasi antara industri dan akademia seperti ini akan mempercepatkan inovasi.
“Menerusi Maxis Business, kami berharap dapat menyediakan penyelesaian 5G yang mampu mentransformasi sistem penjagaan kesihatan dan persekitaran pendidikan, menjadikannya lebih dinamik, mudah diakses, dan peribadi,” katanya.
Sementara itu, Dr. Ewe berkata kerjasama ini sejajar dengan komitmen UTAR untuk menyokong penyelidikan dan inovasi yang memenuhi keperluan kritikal dalam bidang penjagaan kesihatan dan pendidikan.
“Saya gembira UTAR dapat bekerjasama dengan Maxis dalam perjalanan inovatif ini untuk membangunkan penyelesaian 5G yang canggih.
“Dengan memanfaatkan gabungan kekuatan akademia dan industri, kami boleh mencipta bersama penyelesaian transformatif yang menyumbang kepada kemajuan teknologi dan kemajuan masyarakat,” katanya.
Sebelum ini, UTAR memilih Maxis pada 2019 untuk menyediakan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi kepada dua buah kampus di Sungai Long dan Kampar. Melalui kerjasama itu, setiap kampus telah dilengkapi penyelesaian kesalinghubungan Maxis yang juga dapat membolehkan UTAR meningkatkan kelancaran jalur lebar mereka ke kelajuan yang lebih tinggi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial