EKONOMI > BERITA

CPOPC Alu-alukan Papua New Guinea Sebagai Negara Anggota Keempat

02/01/2025 07:35 PM

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) mengalu-alukan kehadiran Papua New Guinea yang kini rasmi sebagai negara anggota keempatnya.

Dalam kenyataannya hari ini, CPOPC berkata penyerahan insrumen dalam majlis hibrid di sektretariatnya di Jakarta, Indonesia, juga menandakan selesainya proses permohonan rasmi yang telah dikemukakan pada 27 Okt, 2020.

Pada majlis itu, Papua New Guinea telah diwakili oleh Kaunselor Menteri di Kedutaan Papua New Guinea di Jakarta, Indonesia, Gregory Hombuahin dan Setiausaha Agung Perbadanan Industri Kelapa Sawit Papua New Guinea, Kepson Pupita.

Setiausaha Agung CPOPC Dr Rizal Affandi Lukman berkata pengalaman besar Papua New Guinea dalam aspek penanaman minyak sawit dan komitmennya dalam memupuk pertumbuhan ekonomi, dijangka dapat meningkatkan lagi matlamat bersama dengan CPOPC.

“Penyertaan pada hari ini adalah bukti kepada matlamat penyatuan CPOPC. Secara bersama, kita dapat meningkatkan lagi suara bersama di pentas antarabangsa, mempromosi pembangunan saksama dan lestari dalam sektor minyak sawit,” katanya.

Sementara itu, Hombuahin berkongsi kegembiraan negara itu menjadi sebahagian daripada CPOPC ketika badan itu mengetengahkan nilai-nilai kelestarian dan pertumbuhan yang berteraskan komuniti.

“Kita komited untuk bekerjasama dengan rakan negara anggota bagi membangunkan masa depan lebih cerah untuk industri minyak sawit,” katanya.

CPOPC berkata sebagai negara anggota, Papua New Guinea mempunyai keistimewaan dalam aspek menyertai Mesyuarat Menteri dan Mesyuarat Pegawai Kanan CPOPC untuk memberi hala tuju dan panduan dasar selain menyokong dan meluluskan strategi, program dan pelan tindakan bagi kemajuan industri sawit.

“Susulan penyertaan Papua New Guinea sebagai negara anggota, Nigeria dan Republik Demokratik Congo sebagai negara pemerhati, CPOPC kini memantau 88.8 peratus daripada pengeluaran minyak sawit global, sekali gus membuktikan peranan pentingnya dalam membentuk masa depan industri," katanya.

CPOPC yang ditubuhkan pada 2015, berperanan memajukan kepentingan negara pengeluar minyak sawit selain mengukuhkan kerjasama dalam amalan minyak sawit mampan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan