EKONOMI > BERITA

MSPO 2.0 Perkukuh Kepimpinan Malaysia Dalam Pengeluaran Minyak Sawit Mampan - MPOC

03/01/2025 10:30 AM

Oleh Danni Haizal Danial Donald

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Pelaksanaan Piawaian Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) MS2530:2022 (MSPO 2.0) memperkukuh kepimpinan Malaysia dalam pengeluaran minyak sawit mampan dan menguatkan kedudukannya di pasaran global, kata Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC).

MSPO 2.0 berkuat kuasa secara rasmi pada 1 Jan 2025 dan memperkenalkan garis panduan yang lebih tegas mengenai kemampanan, kebolehkesanan dan amalan etika dalam pengeluaran minyak sawit.

Ketua Pegawai Eksekutif MPOC Belvinder Kaur Sron berkata pelaksanaan MSPO 2.0 yang dipertingkatkan akan membolehkan MPOC mempromosikan kemampanan dan kualiti minyak sawit Malaysia dengan lebih berkesan serta memperteguh reputasinya di peringkat antarabangsa.

“MSPO 2.0 memperkenalkan langkah lebih tegas untuk mencegah penyahhutanan, melindungi kawasan mempunyai nilai pemuliharaan tinggi dan menangani kebimbangan utama alam sekitar.

“Dengan melibatkan pekebun kecil dalam rantaian bekalan mampan dan meningkatkan kebolehkesanan, piawaian ini mewujudkan rangka kerja yang lebih inklusif dan berdaya tahan,” katanya kepada Bernama hari ini.

Belvinder berkata penambahbaikan ini bukan sahaja meningkatkan kemampanan malah akses pasaran memandangkan pihak berkepentingan semakin memerlukan produk yang memenuhi piawaian alam sekitar dan sosial yang teliti. 

“MSPO 2.0 sejajar dengan penanda aras kemampanan antarabangsa, termasuk Peraturan Penyahhutanan Kesatuan Eropah (EUDR) dan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG).

“Mekanisme kebolehkesanan yang dipertingkatkan dan prinsip memfokuskan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) memastikan minyak sawit Malaysia memenuhi jangkaan pengguna dan pengawal selia yang mengutamakan alam sekitar di seluruh dunia,” katanya.

Belvinder berkata langkah ini bukan sahaja memelihara akses pasaran sedia ada malah memperteguh keupayaan Malaysia untuk berkembang ke pasaran baharu, memperlihatkan komitmen terhadap kemampanan dan kualiti.

“Dengan memastikan pematuhan terhadap piawaian global dan menangani kebimbangan pengguna mengenai kemampanan, MSP0 2.0 memperkuat kedudukan pasaran Malaysia dan memudahkan akses ke pasaran premium seperti EU dan Amerika Utara,” katanya.

Menurut Belvinder, pensijilan yang dipertingkatkan membolehkan industri minyak sawit memberi sumbangan penting kepada objektif kemampanan negara dan global dengan menangani isu seperti penyahhutanan, pemuliharaan biodiversiti dan hak buruh.

“Standard yang diperkukuh ini turut menyokong usaha MPOC untuk meletakkan minyak sawit Malaysia sebagai produk mampan dan berkualiti tinggi yang diiktiraf di peringkat global, memudahkan akses pasaran yang lebih besar dan memacu pertumbuhan jangka panjang untuk industri,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (NASH) Adzmi Hassan berharap pelaksanaan MSPO 2.0 akan mengukuhkan lagi harga minyak sawit dan memberikan nilai tambah terhadap komoditi itu.

Beliau juga menjangka kerajaan menerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) akan terus menyokong pekebun kecil untuk mencapai MSPO 2.

“Pada masa ini, kerajaan menyokong pekebun kecil untuk MSPO 1.0. Oleh itu, saya berharap (kerajaan) melalui MPOB akan meneruskan inisiatif ini,” katanya.

Adzmi berpendapat kenaikan harga tandan buah segar (FFB) minyak sawit kepada RM1,100-RM1,200 satu tan akan mendorong pekebun kecil untuk menghasilkan lebih banyak minyak sawit mampan pada masa depan sejajar dengan piawaian MSPO 2.0.

Menurut Kementerian Perladangan dan Komoditi, kira-kira 4.94 juta hektar atau 87.4 peratus ladang sawit di Malaysia, dan 407 daripada 446 kilang minyak sawit telah diperakui di bawah piawaian MSPO setakat April 2024.

Menteri berkenaan Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata 151,152 pekebun kecil, melibatkan kawasan berkeluasan 542,215 hektar atau 66 peratus turut menerima pensijilan itu dalam tempoh sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan