EKONOMI > BERITA

Projek Senze@PICC Oleh Hunza Berjalan Lancar, Pemilik Kediaman Dijangka Terima Kunci Pada 2027

03/01/2025 03:42 PM

GEORGE TOWN, 3 Jan (Bernama) -- Pembinaan pembangunan perdana terbaharu Hunza Properties Bhd (Hunza), Senze@PICC berjalan lancar dengan pembeli dijangka menerima kunci rumah masing-masing pada 2027.

Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Khor Tze Ming berkata pembangunan itu dijangka menerima Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) menjelang suku keempat tahun depan.

Pemaju yang berpangkalan di Pulau Pinang itu akan memperuntukkan enam bulan lagi untuk kerja  pengubahsuaian bagi 1,680 unit berkelengkapan penuh di tiga menara.

"Pembinaan sedang berjalan lancar seperti yang jelas dilihat apabila kami melintas di Jalan Tun Dr Awang dan sambutan menggalakkan daripada pembeli tempatan dan asing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran enam unit pameran Senze@PICC di Galeri Jualan Penang International Commercial City (PICC) di Bayan Lepas di sini malam tadi.

Khor berkata Senze@PICC, pembangunan kediaman perkhidmatan berperabot lengkap pertama oleh Hunza, menawarkan pelbagai jenis unit yang terdiri daripada unit dua bilik tidur seluas 61.0373 meter persegi hingga unit 3+1 bilik tidur seluas 145.0216 meter persegi, dengan harga sekitar RM1,200 setiap kaki persegi.

Beliau berkata terletak dalam sekitar pembangunan Senze@PICC ialah pusat beli-belah yang dijangka terbesar di wilayah utara serta menara komersial tertinggi di negeri ini yang akan menempatkan pejabat Perkhidmatan Perniagaan Global yang diperakui MSC serta hotel berjenama antarabangsa. 

"Transit aliran ringan (LRT) Laluan Mutiara juga akan disambungkan ke bandar komersial ini dan majlis pecah tanah LRT dijadualkan pada 11 Januari minggu depan, sekali gus meningkatkan kebolehcapaian dengan lancar di dalam dan di luar PICC," katanya.

Melangkah ke hadapan, Khor berkata Hunza akan memulakan pembinaan beberapa projek di pulau dan tanah besar Pulau Pinang termasuk pembangunan bangunan tinggi pertama di bandar Bertam dan satu lagi projek perumahan mampu milik di pulau tersebut.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jualan dan Pemasaran Kumpulan Datuk Lily Tan berkata Hunza memulakan jualan awal untuk Menara C Senze@PICC sejak Mei tahun lepas dan menara itu kini 40 peratus ditempah.

Tan berkata ia akan mula membuka jualan untuk Menara A mulai 16 Feb,2025 manakala Menara B akan dilancarkan kemudian.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan