Oleh Rosemarie Khoo Mohd Sani
KUALA LUMPUR, 6 Jan (Bernama) -- Rang Undang-undang Perkongsian Data 2024 adalah penting kerana ia akan membolehkan agensi kerajaan persekutuan berkongsi data dan mengukuhkan struktur tadbir urus dalam ekosistem perkongsian data.
Profesional operasi dan infrastruktur teknologi maklumat (IT), Sarkunarajah Shanmugam berkata dengan kelulusan rang undang-undang itu, beliau menjangkakan kerjasama awam-swasta turut akan dipertingkatkan yang mana infrastruktur data akan bersambung dengan baik.
“Ini bermakna sektor swasta akan dapat beroperasi daripada satu sumber, menyampaikan hasil yang jelas serta menyampaikan nilai yang dihasratkan daripada kerjasama sektor awam dan swasta,” katanya semasa program Bernama TV, Bernama World hari ini.
Rang Undang-undang Perkongsian Data 2024, yang diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara bulan lepas, bertujuan untuk menjadikan perkongsian data antara agensi sektor awam di Malaysia lebih selamat dan diperkemas.
Objektifnya adalah untuk mewujudkan sumber kuasa yang jelas dalam mengawal selia termasuk melaksanakan undang-undang perkongsian data; meningkatkan keberkesanan penyampaian oleh agensi sektor awam dan melonjakkan kecekapan pengurusan serta peraturan perkongsian data.
Ia juga bertujuan untuk menubuhkan struktur tadbir urus yang sistematik dan berfokus dalam ekosistem perkongsian data.
Sarkunarajah turut mengetengahkan isu penting mengenai pihak yang mempunyai akses kepada data — sama ada agensi persekutuan yang memiliki data itu atau entiti luar yang meminta akses kepadanya.
“Menguruskan akses dengan betul adalah penting dalam memastikan keselamatan data dan integriti data. Bagaimanakah kita boleh memastikan integriti data sepanjang jangka hayat data itu sendiri?,” katanya lagi.
“Persoalan lain ialah penyimpanan data. Bagaimana kita mampu memastikan ia selamat daripada pihak yang berniat jahat,” katanya sambil menambah ketelusan dalam agensi kerajaan adalah perlu kerana orang ramai ingin tahu di mana dan bagaimana maklumat mereka dikongsi.
Sarkunarajah juga menambah bahawa mengubah minda serta menukar budaya dalam agensi persekutuan bagi mewujudkan perkongsian data yang dipercayai adalah satu perkara yang amat penting, terutamanya dalam konteks infrastruktur IT dan ketersediaan bakat.
Walaupun aspek teknikal seperti pembangunan infrastruktur serta merekrut bakat mungkin boleh dicapai, perubahan budaya dalam organisasi kerajaan akan mengambil masa, katanya.
“Ini kerana inisiatif itu memerlukan beberapa agensi dalam mengubah atau menyesuaikan diri dengan proses dan teknologi baharu selain latihan serta peningkatan set kemahiran pekerja.
“Mereka perlu mempunyai keyakinan untuk berkongsi data dengan kaedah yang boleh dipercayai di kalangan agensi persekutuan,” tegas Sarkunarajah.
Beliau juga menyatakan keyakinan bahawa akan ada minat serta pertumbuhan dalam kumpulan bakat analisis data dan data di negara ini, dengan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengambil bahagian dalam inisiatif perkongsian data.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial