EKONOMI > BERITA

JS-SEZ Boleh Pacu Johor Sebagai Enjin Pertumbuhan Selatan Untuk Ekonomi - Penyelidikan

08/01/2025 01:36 PM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) berpotensi memacu Johor menjadi enjin pertumbuhan selatan untuk ekonomi, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Menerusi nota penyelidikan pada Rabu, bank pelaburan itu menjelaskan aliran pelaburan langsung asing (FDI) baharu dari seluruh rantau ini akan menjana peluang yang bertumpu Johor.

“Kami kekal positif terhadap pasaran meluas dengan ketidaktentuan luaran diimbangi oleh kestabilan domestik dan disokong oleh mudah tunai yang besar, pendapatan korporat yang kukuh dan penilaian menarik.

“Kami yakin JS-SEZ adalah satu cadangan menarik yang mempunyai ciri tersendiri -- dengan Johor menawarkan persekitaran kos operasi lebih rendah, akses kepada tanah, bekalan buruh mahir yang mencukupi, dan infrastruktur lengkap untuk kesalinghubungan, ditambah dengan akses kepada modal dan teknologi di Singapura,” tambahnya.

Menurut RHB, pemeteraian perjanjian JS-SEZ akan melonjakkan keyakinan pasaran apabila komitmen dua hala itu mewakili tahap kemajuan dan kerjasama yang belum pernah dicapai, manakala hartanah di Iskandar Malaysia diunjurkan mengalami fasa pertumbuhan berbilang tahun.

“Aliran masuk FDI, pembukaan pejabat baharu oleh institusi kewangan tempatan dan asing di Forest City, serta peningkatan bilangan pelancong dari Singapura, dijangka memberikan limpahan positif terhadap sektor hartanah,” tambahnya.

Sementara itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) turut senada dengan menjangkakan sektor hartanah memperoleh manfaat positif memandangkan pemeteraian JS-SEZ mengesahkan pelaksanaan inisiatif kerajaan yang berterusan.

“Ini adalah pencapaian terbesar selepas pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) 2023, yang pada pandangan kami, sedang berjalan dengan baik,” katanya.

Maybank IB juga menjelaskan perjanjian JS-SEZ menandakan era baharu bagi peluang pelaburan serta kepimpinan dan komitmen kedua-dua negara, yang menjadi tonggak asas bagi zon ekonomi khas itu.

Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) pula menjelaskan gelombang pertama pelaburan mungkin datang dari Singapura memandangkan kedekatannya dengan JS-SEZ.

Bank pelaburan itu menambah, JS-SEZ menyasar untuk mengalu-alukan 100 projek dalam tempoh 10 tahun dan telah menumpukan kepada 50 projek dalam tempoh lima tahun.

“Di peringkat Malaysia, pelaburan dari Singapura dalam sektor pembuatan, secara purata, telah menyaksikan kira-kira 100 pelaburan yang diluluskan setiap tahun sepanjang enam tahun lepas,

“Secara purata, setiap pelaburan yang dikira adalah bernilai sekitar RM150 juta, walaupun ini tidak seharusnya mencerminkan pelaburan yang disasarkan dalam JS-SEZ, iaitu yang bernilai tinggi,” tambahnya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan