KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Cabaran demografi yang kini dihadapi oleh negara ASEAN menjadi antara perkara penting yang harus ditangani oleh Visi Komuniti Asean (ACV) 2045 untuk 20 tahun akan datang.
Timbalan Setiausaha Agung ASEAN bagi AEC Satvinder Singh berkata isu itu perlu ditangani kerana tatkala blok ini bergerak menuju komuniti berpendapatan sederhana atas, sesetengah negara ASEAN berhadapan populasi penduduk yang semakin menua.
“Lihat sahaja Singapura, Thailand, Brunei dan malah Vietnam, kebanyakan penduduk mereka kini memasuki populasi menua.
"Demografi dan penuaan, ini adalah perkara yang perlu kita ambil kira dalam merancang dan menyusun semula ACV yang dijangka dilancarkan tahun ini di bawah kepengerusian Malaysia," katanya dalam pembentangan bertajuk "Memimpin ASEAN Ke Arah Masa Depan Inklusif dan Mampan" di sini hari ini.
Sementara itu, dalam Persidangan Pandangan Pemimpin Ekonomi ASEAN: Tinjauan Untuk 2025, Satvinder berkata dengan menangani cabaran tersebut, ia boleh meningkatkan kekuatan domestik semua negara di sebalik ketidaktentuan persekitaran geopolitik.
Negara-negara ASEAN kemudiannya akan dapat bertahan daripada sebarang gangguan, terutamanya dalam merealisasikan blok itu sebagai kuasa pertengahan serantau, katanya.
Selain isu demografi, Satvinder melihat keperluan blok ini untuk meningkatkan pendigitalan, perubahan iklim dan kemampanan.
Ekonomi negara-negara ASEAN juga telah mencapai prestasi yang baik dalam beberapa sektor seperti semikonduktor, pertanian, serta pusat data, bahan kimia dan tenaga, perlombongan dan logam, kenderaan dan penjagaan kesihatan, katanya.
"Akan ada banyak pergerakan ke dalam sektor baharu seperti kecerdasan buatan (AI) yang berkemungkinan akan memberi kesan (perubahan pesat di rantau ini) serta industri yang mampan.
"Saya fikir dalam peringkat seterusnya pertumbuhan dan pembangunan kita dari segi peluang, sektor baharu inilah yang akan dipacu oleh ASEAN," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial