EKONOMI > BERITA

Penyahgandingan Global Tawar Peluang Besar Kepada ASEAN - Nazir Razak

09/01/2025 05:53 PM

KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Penyahgandingan global membawa gangguan besar namun pada masa sama menawarkan peluang signifikan untuk ASEAN, meletakkan blok ini sebagai peserta utama dalam ekonomi global yang berasing-asing.

Pengerusi Majlis Penasihat Perniagaan (BAC) ASEAN Malaysia, Tan Sri Nazir Razak menyuarakan optimism bahawa ASEAN, yang kini semakin realistik, akan mencapai objektif terutama dalam merealisasikan sasaran dan matlamatnya.

“Kita mesti bercita-cita tinggi dan menetapkan keutamaan yang tepat dengan keberhasilan khusus. Perkara yang kita mahu laksana mesti mencipta nilai.

“Kita mesti mendapatkan penglibatan kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan Sekretariat ASEAN, bekerja sebagai satu pasukan yang padu,” katanya semasa sesi panel bertajuk 'Mengukuhkan Integrasi Ekonomi Serantau untuk ASEAN yang Berdaya Tahan’ di Persidangan Pemimpin Pemikir Ekonomi ASEAN: Prospek bagi 2025 di sini, Khamis.

Penyahgandingan merujuk kepada proses mengurangkan keadaan saling bergantung antara dua negara atau kumpulan negara.

Contoh utama adalah usaha berterusan oleh Amerika Syarikat (AS) dan China untuk menyahganding ekonomi masing-masing terutamanya dalam sektor sensitif.

Selain itu, Nazir berkata BAC Malaysia telah merangka 12 inisiatif bagi tahun ini yang bertujuan meningkatkan integrasi antara negara ASEAN.

Antaranya ialah mewujudkan idea untuk prospektus ASEAN supaya syarikat yang ingin disenaraikan di bursa saham boleh memilih antara prospektus Malaysia bagi mengumpul dana dari pelabur di Malaysia atau prospektus ASEAN untuk mengumpul modal merentasi negara-negara ASEAN.

“Inisiatif ini akan membawa pasaran kita lebih erat, dan saya percaya ini boleh menjadi sangat produktif.

“Satu lagi idea adalah konsep entiti perniagaan ASEAN, yang lebih kompleks...namun, saya berpandangan perkara ini boleh menjadi langkah ke hadapan terbesar dalam perniagaan ASEAN,” katanya.

Nazir berkata kalangan ekonomi ASEAN perlu mencapai aspek keuntungan dari segi kos untuk perniagaan bersaing dengan kuasa besar global seperti China.

Langkah ke hadapan adalah melalui kerjasama dan integrasi yang lebih besar, seperti dengan mewujudkan kategori entiti perniagaan ASEAN, katanya.

Beliau berkata berasaskan kelayakan sebagai entiti perniagaan ASEAN, kalangan syarikat boleh meraih manfaat daripada pergerakan bebas orang ramai dan operasi perniagaan merentasi ASEAN.

“Kami sedang berusaha untuk merealisasikan idea ini namun, yang lebih perlu adalah kerajaan dan Sekretariat ASEAN turut seiring dengan semua inisiatif ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan