EKONOMI > BERITA

Airbus Serah 766 Unit Pesawat Komersial Pada 2024

10/01/2025 11:25 AM

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Pengeluar pesawat global, Airbus telah menyempurnakan penyerahan sebanyak 766 unit pesawat komersial kepada 86 pelanggannya di serata dunia pada 2024 yang juga peningkatan berbanding 735 pesawat pada tahun sebelumnya.

Jumlah penghantaran itu termasuk masing-masing 602 pesawat jenis A320, A220 (75 pesawat), A330 (32 pesawat) dan A350 (57 pesawat).

Dalam kenyataan hari ini, pengeluar pesawat itu berkata perniagaan pesawat komersial Airbus turut mencatat sebanyak 878 pesanan baharu kasar dan berikutan itu bilangan pesawat belum diserahkan pada akhir tahun 2024 berjumlah 8,658 unit.

Ketua Pegawai Eksekutif bagi Pesawat Komersial Airbus Christian Scherer berkata syarikat itu juga berjaya meraih keputusan pelanggan utama selain menyaksikan momentum luar biasa bagi jumlah pesawat pesawat lebarnya, sekali gus melengkapkan kedudukan utama sebagai peneraju dalam pasaran pesawat lorong tunggal.

“Tahun 2024 hanya mengesahkan permintaan berterusan untuk pesawat baharu. Dari segi penyerahan pesawat, kami mengekalkan trajektori sedia ada dan meraikan beberapa kejayaan bermakna.

“Ini termasuk A321XLR pertama serta penghantaran A330neo dan A350 pertama kepada beberapa pelanggan di seluruh dunia," katanya. 

Pengeluar pesawat itu berkata bahawa prestasi kewangan setahun penuh Airbus bagi 2024 akan diumumkan pada 20 Feb, 2025.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan