EKONOMI > BERITA

MIDA: Mangkin Daya Tahan, Pertumbuhan Masa Depan Ekonomi Malaysia Dalam Kedinamikan Landskap Global

12/01/2025 11:30 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Landskap pelaburan Malaysia pada 2024 sekali lagi menunjukkan daya tahan dan keupayaan menyesuai, dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berada di barisan hadapan dalam memacu pertumbuhan ekonomi menerusi pelaburan strategik, pembangunan modal insan, serta inisiatif ekonomi digital dan hijau.

 

Galakan Pelaburan dan Pacu Pertumbuhan Ekonomi

Peranan MIDA dalam memangkinkan pembangunan ekonomi Malaysia dibuktikan oleh kejayaannya menarik pelaburan bernilai RM254.7 bilion dalam tempoh tiga sukuan tahun 2024, meningkat sebanyak 10.7 peratus tahun ke tahun.

Semua pelaburan itu meliputi sektor perkhidmatan, pembuatan, dan utama, yang membawa 4,753 projek baharu di sampimg mewujudkan 159,347 pekerjaan sekali gus mendorong pertumbuhan penciptaan pekerjaan tahun ke tahun sebanyak 75.9 peratus.

Pelaburan domestik (DI) menyumbang RM148.0 bilion (58.1 peratus), dan prestasi itu mencerminkan keyakinan teguh terhadap kejelasan dasar kerajaan serta daya tahan perniagaan tempatan.

Pelaburan asing (FI) pula membentuk RM106.7 bilion (41.9 peratus), dengan penyumbang utama meliputi Jerman, China, dan Amerika Syarikat.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MIDA Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid menyerlahkan semangatnya ketika bercakap mengenai pencapaian itu.

“Angka pelaburan ini mencerminkan kedudukan Malaysia yang semakin kukuh sebagai destinasi pelaburan utama.

“Kejayaan kami dalam menarik pelaburan domestik dan asing membuktikan keberkesanan inisiatif strategik kami dalam memupuk ekonomi yang dipacu inovasi,” katanya kepada Bernama.

 

Mempercepat Ekonomi Digital

Seiring dengan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) Malaysia, MIDA telah berada di barisan hadapan dalam memacu pertumbuhan ekonomi digital.

Dari Januari hingga September pada tahun lepas, Pejabat Pelaburan Digital iaitu platform kerjasama strategik antara MIDA dan MDEC, telah meluluskan pelaburan digital bernilai RM64.8 bilion, dengan tumpuan kepada usaha mempercepat penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), analisis data, dan automasi untuk memacu transformasi digital Malaysia.

“Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan 5G Advanced, AI dan pengkomputeran awan untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi.

“Semua kemajuan ini, disokong oleh Pelan Induk MyDIGITAL dan Dasar 4IR Nasional, sedang memupuk ekosistem digital yang dinamik dan menjadikan Malaysia sebagai hab inovasi serantau,” katanya.

 

Ledakan Pusat Data: Asas Ekonomi Digital

Antara sektor yang diberi tumpuan pada 2024 adalah pertumbuhan pesat pusat data, yang menarik komitmen pelaburan bernilai US$10.7 bilion (RM46.9 bilion) daripada peserta utama pusat data dan perkhidmatan awan.

Kemudahan tersebut merupakan tonggak infrastruktur moden yang amat diperlukan, membolehkan ketersambungan merentas industri dan rantau yang lancar.

Infrastruktur lengkap, kos tenaga yang kompetitif, inisiatif kemampanan, amalan digitalisasi yang pesat dan lokasi strategik negara telah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab serantau untuk firma utama teknologi dan penyedia perkhidmatan awan global.

Pertumbuhan pusat data dan aktiviti awan bukan sahaja memacu masyarakat yang lebih inklusif dari segi digital sekali gus memastikan setiap pengguna boleh menikmati manfaat ekonomi digital, malah juga juga memajukan rantaian bekalan tempatan, meningkatkan permintaan terhadap tenaga boleh baharu dan penyelesaian teknologi serta penambahan kemahiran dalam kalangan tenaga kerja untuk memenuhi keperluan industri.

Projek utama meliputi pelaburan oleh Google, Oracle dan Microsoft mencipta ribuan pekerjaan langsung dan tidak langsung bernilai tinggi, memupuk pemindahan pengetahuan dan merangsang inovasi teknologi.

“MIDA komited untuk mempermudah proses pembangunan pusat data dan proaktif dalam mengatasi cabaran bagi memastikan Malaysia kekal menarik kepada pelabur.

“Inisiatif utama dalam usaha ini ialah Pasukan Petugas Penyelarasan Pelaburan Pusat Data (DCICTF) yang melaksanakan peranan penting bagi memudahkan dan mempercepat urusan berkaitan pusat data,” katanya.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata garis panduan kerajaan Malaysia untuk pembangunan pusat data yang mampan telah menetapkan rangka kerja komprehensif bagi memastikan kemudahan itu beroperasi dengan cekap, mampan, dan dalam keadaan mesra alam.

“Inisiatif ini menjajarkan aspirasi Malaysia dengan matlamat jangka masa panjang untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050," kata CEO MIDA.

 

Bangunkan Modal Insan untuk Daya Saing Ekonomi

Modal insan kekal sebagai tonggak penting dalam strategi ekonomi Malaysia.

Inisiatif seperti program kemahiran tambahan dan kerjasama dengan institusi akademik dirangka untuk menjajarkan tenaga kerja dengan tuntutan industri berteknologi tinggi.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata untuk memacu kemajuan merentas semua sektor, MIDA menumpukan kepada pembangunan tenaga kerja yang sangat mahir dan mampu menyesuaikan diri.

“Kerjasama kami dengan Kementerian Pengajian Tinggi dan Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia adalah penting untuk melengkapkan warga Malaysia dengan kemahiran yang diperlukan untuk pekerjaan masa depan,” katanya.

 

Mengatasi Cabaran dan Memanfaatkan Peluang

Ketika naratif pelaburan Malaysia secara keseluruhannya adalah optimistik namun, cabarannya tetap wujud.

Cabaran ekonomi global dan gangguan rantaian bekalan memerlukan tindak balas dasar yang cekap.

“MIDA telah memperkenalkan langkah seperti mewujudkan Pusat Memudahcara Pelaburan Malaysia (IMFC) dan Pejabat Pelaksanaan Projek dan Fasilitasi (TRACK), yang bertujuan melancarkan proses pelaburan dan memperkukuh infrastruktur Malaysia,” katanya.

Antara 2021 hingga September 2024, Malaysia mencatatkan kadar kejayaan sebanyak 84.3 peratus dalam melaksanakan projek pembuatan yang diluluskan, sekali gus menunjukkan keberkesanan inisiatif seperti TRACK.

Sikh Shamsul Ibrahim berkata TRACK melaksanakan peranan pentingnya dalam memastikan projek yang diluluskan dapat disiapkan dengan lancar, sama ada projek sudah beroperasi, dalam pembinaan, atau dalam fasa perancangan.

Ini menyerlahkan mekanisme kukuh Malaysia dalam mengubah kelulusan kepada hasil yang nyata, mengurangkan tempoh kelewatan dan memaksimumkan keyakinan pelabur.

 

Visi untuk Masa Depan Mampan dan Pelbagai

MIDA secara aktif berusaha untuk mempelbagaikan asas ekonomi Malaysia dengan menumpukan kepada bidang pertumbuhan baharu seperti tenaga boleh baharu, e-mobiliti, biobahan api, dan unsur nadir bumi (REE).

Usaha itu selaras dengan rancangan strategik Malaysia untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau sifar bersih menjelang 2050 dan menggalakan ekonomi hijau.

Malaysia telah menetapkan sasaran untuk meningkatkan bahagian tenaga boleh baharu dalam campuran tenaga negara dengan mencecah 70 peratus menjelang 2050 sebagai sebahagian daripada komitmen untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih.

Inisiatif MIDA adalah penting dalam peralihan ini, meletakkan Malaysia sebagai hab pelaburan hijau utama menjelang 2030, sejajar dengan sasaran Strategi Pelaburan Hijau (GIS).

Selain itu, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) yang dirangka kerajaan menetapkan projek dan inisiatif utama untuk menyokong peralihan tenaga.

“Kami bukan sahaja membangunkan ekonomi berdaya tahan untuk hari ini malah juga ekonomi yang berkembang maju dan inklusif untuk generasi akan datang.

“Komitmen kami untuk menarik pelaburan dalam bidang pertumbuhan baharu, ditambah dengan tumpuan kami yang tidak berbelah bagi terhadap pembangunan modal insan, akan memastikan Malaysia kekal sebagai peneraju kompetitif dalam landskap global,” katanya.

Peralihan kepada kemampanan juga menjadi elemen penting dalam strategi Malaysia yang lebih luas untuk mempelbagaikan asas ekonominya.

“Apabila negara mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025, MIDA dijangka menggiatkan lagi usaha untuk meletakkan negara sebagai peneraju dalam penyepaduan ekonomi serantau.

“Menerusi inisiatif yang giat dan strategi berasaskan pandangan jauh, MIDA kekal sebagai pendorong yang sangat diperlukan dalam membentuk naratif ekonomi Malaysia, memastikan pertumbuhan, inovasi, dan daya tahan dalam landskap global yang sentiasa berubah,” kata Sikh Shamsul Ibrahim.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan