EKONOMI > BERITA

Kepengerusian ASEAN Malaysia Perkukuh Perdagangan Minyak Sawit, Kerjasama Serantau - MPOB

14/01/2025 12:04 PM

Oleh Nurul Hanis Izmir

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) -- Perdagangan minyak sawit adalah tonggak kepada aktiviti ekonomi ASEAN, justeru Malaysia komited untuk memanfaatkan rangka kerja serantau seperti Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) ASEAN dengan negara seperti Korea Selatan, Australia dan New Zealand.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata perjanjian ini dijangka meningkatkan perdagangan intra-ASEAN di samping memastikan bekalan bahan mentah minyak sawit adalah stabil dan berdaya tahan.

“Kami menyasarkan untuk meningkatkan akses pasaran di seluruh rantau ini melalui perjanjian-perjanjian ini, memastikan ASEAN kekal berdaya saing dalam perdagangan minyak sawit global,” katanya kepada Bernama.

Ahmad Parveez berkata sebagai negara yang mempengerusikan ASEAN tahun ini, Malaysia meletakkan sektor minyak sawit sebagai nadi pertumbuhan ekonomi serantau.

Beliau berkata kepengerusian ASEAN memberikan peluang untuk memperkukuhkan kerjasama bukan sahaja dalam kalangan negara anggota malah pasaran utama global khususnya Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah (EU).

Menurutnya penglibatan ini penting untuk menangani cabaran geopolitik seperti konflik yang berterusan di Ukraine dan Timur Tengah, yang telah menjejaskan aliran perdagangan global.

“Dengan mengeratkan hubungan dalam ASEAN dan rakan luar, Malaysia berhasrat memastikan sektor minyak sawit terus menjadi penyumbang utama kepada daya tahan ekonomi rantau ini.

“Tumpuan kita bukan sahaja terhadap perdagangan. Kita komited untuk menggalakkan dasar yang menyokong pengeluaran dan perdagangan minyak sawit secara mampan,” katanya sambil memaklumkan usaha ini turut sejajar dengan matlamat meluas ASEAN untuk meningkatkan sekuriti makanan dan mewujudkan sektor minyak sawit yang bersatu di seluruh rantau ini.

Ahmad Parveez berkata kepimpinan Malaysia dalam mempromosikan kemampanan turut berada pada kedudukan penting dan Malaysia menyokong penyesuaian piawaian kemampanan di seluruh ASEAN.

“Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang menetapkan penanda aras tinggi bagi pengeluaran yang bertanggungjawab berupaya menjadi model bagi negara ASEAN lain.

“Langkah ini akan menangani kebimbangan global utama seperti penyahhutanan, pelepasan karbon dan amalan buruh yang beretika.

“Dengan mewujudkan langkah kemampanan yang konsisten, kita dapat meningkatkan kredibiliti minyak sawit sebagai komoditi yang dihasilkan secara bertanggungjawab dan menyelaraskan perdagangan minyak sawit ASEAN dengan jangkaan global,” katanya.

Selain itu, Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) berperanan penting dalam memperkukuhkan suara kolektif ASEAN.

Sebagai ahli pengasas, Malaysia dan Indonesia bekerjasama erat untuk memperjuangkan dasar yang adil, memastikan negara-negara pengeluar minyak sawit mempunyai wakil di peringkat global.

Selain itu, penglibatan pekebun kecil dalam rantaian bekalan global adalah keutamaan Malaysia, dengan usaha untuk meningkatkan penyertaan mereka dalam perdagangan melalui kerjasama serantau.

Ahmad Parveez turut menekankan mengenai kepentingan teknologi inovatif untuk meningkatkan produktiviti di samping menjaga alam sekitar.

“Melalui inovasi, kita dapat meraih hasil yang lebih tinggi tanpa memerlukan tambahan tanah, mencapai keseimbangan antara pertumbuhan dan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.

Selain itu, Malaysia sedang mengetuai perbincangan dalam Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) yang menumpukan untuk memperkasa pekebun kecil dan menangani halangan perdagangan.

Memorandum persefahaman dijangka memformalkan kerjasama yang lebih terperinci dalam sektor minyak sawit, memastikan manfaat pengeluaran minyak sawit dikongsi secara saksama di seluruh negara ASEAN.

Hubungan ASEAN dengan rakan dialog seperti China, India, Jepun dan EU kekal sebagai teras untuk membentuk masa depan perdagangan minyak sawit.

Melalui inisiatif seperti Kumpulan Kerja Bersama Minyak Sawit, negara-negara ASEAN dan EU bekerjasama untuk memastikan minyak sawit dihasilkan secara mampan dan cabaran yang berkaitan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) ditangani dengan telus.

“Menerusi kerjasama ini, ASEAN boleh kekal sebagai pembekal minyak sawit berdaya saing dan bertanggungjawab di pasaran global di samping memajukan agenda kemampanannya,” katanya.

Dalam kalangan negara ASEAN, Indonesia adalah pengeluar terbesar minyak sawit, menyumbang kira-kira 60 peratus daripada pengeluaran global, menjadikannya pemain dominan dalam industri ini.

Malaysia pula adalah pengeluar global kedua terbesar dengan menyumbang kira-kira 25 peratus daripada minyak sawit dunia. Thailand menghasilkan kira-kira lima peratus daripada minyak sawit global dan giat berusaha untuk mengembangkan kapasiti pengeluarannya.

Filipina pula menghasilkan kira-kira dua hingga tiga peratus daripada pengeluaran global, dengan merancang untuk mengembangkan sektor minyak sawit negara itu manakala Vietnam menyumbang kira-kira satu peratus dan menunjukkan minat untuk meningkatkan pengeluaran pada masa depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan