KUALA LUMPUR, 14 Jan (Bernama) -- Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2024 Malaysia dijangka berkembang pada 5.0 peratus, menyederhana daripada 5.3 peratus dalam suku ketiga 2024, demikian menurut CIMB Securities Sdn Bhd.
Dalam nota tinjauannya hari ini, ia berkata pertumbuhan jualan pengedaran Malaysia merosot kepada 4.7 peratus tahun ke tahun pada November 2024 (Oktober 2024: 5.5 peratus), di tengah-tengah jualan runcit yang lebih perlahan manakala perdagangan borong dan kenderaan bermotor berkembang pada kadar agak stabil.
Jualan runcit misalnya meningkat 5.8 peratus manakala jualan borong meningkat 4.7 peratus dan jualan kenderaan bermotor meraih 1.4 peratus pada November 2024.
“Biarpun berkurangan pada November, jualan perdagangan pengedaran terus memaparkan pertumbuhan yang berdaya tahan sebanyak 5.1 peratus tahun ke tahun pada Oktober-November 2024.
“Ini sepadan dengan kadar suku sebelumnya (suku ketiga 2024: +5.1 peratus), menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan KDNK suku keempat 2024 walaupun penyederhanaan dalam aktiviti perindustrian memberi kesan ke atas prestasi keseluruhan suku berkenaan,” katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia dijangka mengumumkan data anggaran KDNK suku keempat 2024 pada Jumaat ini.
Selain itu, pasaran tenaga kerja bagi November 2024 juga meningkat dengan pertumbuhan penggajian 1.4 peratus tahun ke tahun.
Kadar pengangguran pula pada 3.2 peratus yang terendah sejak 2015 selain pertumbuhan ketibaan pelancong sebanyak 26.1 peratus bagi 11 bulan pertama 2024, katanya.
Dalam pada itu, CIMB Securities menjangkakan aktiviti penggunaan dan perkhidmatan swasta masing-masing berkembang pada 5.5 peratus dan 5.4 peratus dalam 2025 yang seiringan dengan pertumbuhan KDNK sebanyak lima peratus.
Unjuran pertumbuhan aktiviti penggunaan dan perkhidmatan swasta akan didorong oleh perbelanjaan domestik yang kukuh serta pemulihan permintaan luaran, katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial