EKONOMI > BERITA

Negeri Sembilan Terus Jadi Pilihan Pelabur Rekod Pelaburan Rm3.0 Bilion Pada Suku Kedua 2024

14/01/2025 02:42 PM

KUALA PILAH, 14 Jan ( Bernama) -- Negeri Sembilan terus menjadi pilihan pelabur dan kerajaan negeri komited serta giat untuk meneruskan libat urus bersama pelabur berpotensi dari dalam dan juga luar negara, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata pada suku kedua 2024 Malaysia Investment Development Authority (MIDA) melaporkan Negeri Sembilan merekodkan pelaburan berjumlah RM3.0 bilion.

"Negeri Sembilan juga memberi tumpuan meningkatkan daya saing ekonomi dan  Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri ini secara mampan dan inklusif menuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13),” katanya ketika sembah ucapan tahniah dan taat setia sempena Hari Keputeraan ke-77 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata Majlis Pelaburan Negara yang bersidang pada 16 Oktober tahun lepas telah meluluskan inisiatif Pembangunan Kluster Industri Wilayah Tengah merangkumi Negeri Sembilan, Selangor, Melaka dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata inisiatif ini bagi mewujudkan identiti kluster industri khusus dalam sektor pembuatan melalui usaha sama dan sinergi kolaborasi antara negeri dalam memacu pelaburan bersasar.

Aminuddin berkata, usaha ini sejajar dengan agenda diterapkan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 yang memberi fokus kepada pembangunan ekonomi rentas sempadan melibatkan Bandar Enstek serta Nilai. 

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyokong cadangan jaringan lebuh raya baharu melibatkan Lebuh Raya Senawang  KLIA (SKLIA) serta sambungan Lebuh Raya West Coast Expressway (WCE) menghubungkan Banting, Selangor merentasi Negeri Sembilan dan Melaka hingga ke Gelang Patah, Johor.

"Kita yakin jajaran WCE sepanjang pantai Port Dickson itu nanti akan memberi limpahan ekonomi dan pembangunan kepada rakyat di negeri ini yang merupakan antara negeri pilihan pelabur," katanya.

Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri turut memberi pendekatan dalam reformasi bidang baharu seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence, AI), transformasi digital dan transisi tenaga dalam pembangunan negeri.

"Bandaraya Seremban dalam rangka kerja fasa dua pembangunan bandar pintar, selain itu kerajaan negeri sedang membangunkan Pelabuhan Smart AI Container di Port Dickson. 

"Perancangan pembangunan tersebut turut melibatkan cadangan integrasi dengan Zon Perindustrian Bebas Cukai (FIZ) dengan komponen mempromosikan perdagangan entrepot serta menggalakkan aktiviti pengilangan berorientasikan eksport," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan