EKONOMI > BERITA

CPTPP Saluran Kritikal Kembang Pelaburan, Perdagangan Antara Malaysia, UK - PM Anwar

16/01/2025 02:37 AM

Daripada D.Arul Rajoo

LONDON, 15 Jan (Bernama) - Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) akan menjadi saluran kritikal untuk mengembang dan memudahkan pelaburan serta perdagangan antara Malaysia dan United Kingdom (UK).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini dapat dilaksanakan susulan daripada langkah kedua-dua negara menyertai perjanjian tersebut.

“Malah saya memilih untuk merakamkan penghargaan saya kepada Perdana Menteri UK kerana berjaya menyertai perjanjian CPTPP.

“Ia merupakan komitmen politik yang serius bagi UK dan Malaysia, memberi tumpuan kepada asas ekonomi demi kepentingan kedua-dua negara untuk menggalakkan perdagangan bebas,” kata beliau.

Anwar berkata demikian pada majlis pelancaran pembangunan bandar baharu Brabazon YTL Group di Bristol, bandar terbesar di barat daya England.

Malaysia meratifikasi CPTPP pada Oktober 2024, menyertai Peru, Jepun, Singapura, Chile, New Zealand dan Vietnam yang berbuat demikian, manakala UK menyertai secara rasmi pada Disember tahun lepas.

Di bawah rangka kerja ini, tarif bagi produk oleh negara anggota akan dikurangkan kepada sifar.

Sementara itu, Perdana Menteri memuji usaha YTL, yang merupakan pelabur terbesar Malaysia di UK, dalam menjayakan pelbagai pembangunan utama di negara tersebut.

YTL membuat pelaburan pertamanya di UK pada 2002 dengan pengambilalihan Wessex Water.

Pembangunan Bristol Brabazon yang memenangi anugerah itu dijangka mengubah tapak bersejarah Filton Airfield menjadi kawasan yang menempatkan kemudahan penting seperti  tempat kerja, sekolah, kedai, pengangkutan awam, penjagaan kesihatan dan kawasan hijau dalam tempoh 15 tahun.

Selain pembangunan 6,500 rumah lestari berkualiti tinggi, projek itu juga akan membina tiga sekolah baharu dan taman bandar baharu. 

Pada majlis pelancaran tersebut, Pengerusi Eksekutif YTL Group, Tan Sri Sir Francis Yeoh Sock Ping berkata syarikat itu akan melabur sebanyak £4 bilion (RM21.96 bilion) lagi di UK dalam tempoh lima tahun akan datang.

Anwar yang berada di sini sempena lawatan kerja selama lima hari berkata dengan menyertai usaha niaga di luar negara, perniagaan Malaysia boleh memperkukuh hubungan pasaran global mereka, seterusnya menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk mengembangkan perdagangan negara melalui rangka kerja antarabangsa seperti CPTPP.

Sepanjang lawatan itu, Anwar akan diiringi Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan