KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Sarawak Oil Palms Bhd menyasarkan perolehan RMB2.4 juta (RM1.5 juta) apabila produk utama mereka, AvantHealth Avtriee Tocotrienols, mula dipasarkan di pasaran China.
Ketua Pegawai Operasi Sarawak Oil Palms Eric Kiu Kwong Seng berkata produk tokotrienol premium yang dihasilkan oleh anak syarikat mereka, Avanstar International Sdn Bhd, berjaya menembusi kebanyakan platform e-dagang China bermula bulan ini.
“Kami menyasarkan jualan sekitar 10,000 botol AvantHealth Avtriee tahun ini.
“Kami berbangga dapat memperkenalkan produk Malaysia yang berkualiti tinggi ke pentas global, bermula dengan langkah penting ini ke pasaran China,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan penghantaran pertama AvantHealth Avtriee dari Malaysia ke China, di sini, hari ini.
Tokotrienol, sejenis vitamin E yang banyak terdapat dalam minyak sawit, mempunyai manfaat kesihatan yang tinggi, termasuk mengurangkan keradangan dan bertindak sebagai antioksidan.
Sementara itu, Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin berkata pelepasan penghantaran AvantHealth Avtriee Tocotrienols ke China hari ini mencerminkan usaha untuk mengangkat industri minyak sawit Malaysia ke tahap yang lebih tinggi, melangkaui penggunaan tradisionalnya.
“Menerusi kerjasama antara kerajaan Malaysia dan China serta syarikat-syarikat, Pentadbiran Am Kastam China telah memberikan kelulusan penuh pada Mac 2024 untuk tokotrienol digunakan dalam pembuatan makanan di China.
“Kerjasama antara kumpulan Sarawak Oil Palms, BOCE Trade Service Co Ltd, dan Hong Kong Xintian Post Trading Ltd merupakan contoh cemerlang pakatan strategikyang boleh mengangkat minyak sawit Malaysia ke pengiktirafan global,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Beliau berkata kementerian komited untuk memajukan industri minyak sawit Malaysia melangkaui penggunaan tradisional, dengan mengutamakan inovasi, kemampanan dan penciptaan nilai.
“Produk bernilai tinggi seperti Avtriee Tocotrienols menunjukkan potensi transformasi minyak sawit sebagai sumber semula jadi yang serba guna dan mampan.
“Penglibatan proaktif kita dengan pasaran antarabangsa, terutama China, memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju global yang dipercayai dalam pengeluaran minyak sawit mampan dan membuka peluang baharu untuk pertumbuhan ekonomi serta perkongsian antarabangsa,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial