EKONOMI > BERITA

Sambutan 10 Tahun CLLA : Cyberview Azam Terus Perkasa Keusahawanan Masa Depan

16/01/2025 09:54 PM

CYBERJAYA, 16 Jan (Bernama) -- Cyberview Sdn Bhd berazam untuk terus memperkasa keusahawanan dalam dekad akan datang menerusi program Cyberview Living Lab Accelerator (CLLA) yang dapat memberikan impak jangka panjang merentas industri.

Pengerusi Datuk Romli Ishak berkata sejak CLLA diperkenalkan, program itu berjaya menubuhkan lebih 120 syarikat pemula, dengan meraih pelaburan secara kolektif berjumlah RM263 juta, menjana hasil terkumpul sebanyak RM837 juta serta menyediakan lebih 1,500 peluang pekerjaan.

"Seiring sambutan ulang tahun ke-10 program CLLA Cyberview, kami konsisten dengan komitmen kami untuk memacu ekosistem inovasi Malaysia dan mengukuhkan kedudukan Cyberjaya sebagai Hab Teknologi Global," katanya dalam majlis sambutan pada Rabu.

Romli berkata CLLA telah berkembang menjadi program pemecut paling lama dijalankan di Malaysia, yang berfungsi sebagai batu loncatan syarikat pemula teknologi tempatan merealisasikan idea dan mempercepatkan perjalanan pengkomersialan mereka.

Sambutan pada tahun ini merangkumi hari demo, dengan syarikat pemula Shieldbase AI daripada kohort CLLA 19 mengatasi sembilan syarikat yang lain untuk merangkul anugerah Pilihan Hakim dan Pilihan Orang Ramai.

Syarikat pemula yang turut serta termasuk Midwest Composites, IOX Tech Global, Vidanex, Vee Smart Home, ALT Synergy, Reyhut Automation, Airlytic, Wiser Machines, dan Pixelence. Enam daripada syarikat pemula ini menerima pelaburan lebih RM1 juta untuk program selama lima bulan itu.

Beberapa pengiktirafan turut diberikan pada hari demo, bagi meraikan alumni program yang cemerlang dan menyumbang kepada landskap inovasi.

Antara penerima, syarikat pemula Pandai, yang menerima Anugerah Impak Global kerana mengembangkan jejaknya di seluruh Malaysia, Brunei, dan Indonesia, dengan menyediakan pendidikan berkualiti kepada pelbagai komuniti, di samping meraih pelaburan global untuk memacu inovasi teknologi pendidikannya.

Mesolitica memperoleh Anugerah Inovator yang Semakin Meningkat menerusi aplikasi kecerdasan buatan (AI) generatifnya, yang diiktiraf dalam NVIDIA AI Directory. Syarikat itu juga memeterai memorandum persefahaman (MoU) penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan AI Singapura untuk memajukan inovasi AI.

ProSales pula menerima Anugerah Momentum Maker susulan mencapai pertumbuhan hasil yang luar biasa dan mengukuhkan kepimpinannya dalam sektor automasi jualan di seluruh Asia Tenggara.

Dua alumni program berkenaan iaitu Mesolitica dan Lekir Tech pula memeterai memorandum persefahaman (MOU) pada acara itu untuk kerjasama dalam bidang AI dan Model Bahasa Besar (LLM), sekali gus menekankan peranan program berkenaan dalam memupuk perkongsian jangka panjang dalam kalangan alumninya.

 -- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan