EKONOMI > BERITA

SC Lancar Program Perintis Bursa Sosial Pertama Bersama Lima NGO

17/01/2025 02:59 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan  (Bernama) -- Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini melancarkan Program Perintis Bursa Sosial pertama Malaysia (SEPP25) bersama lima pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk berkongsi data dan maklumat yang berkaitan serta membantu pembangunan Bursa Sosial.

Lima NGO berkenaan ialah Malaysian Association for the Blind, Agensi Bantuan Malaysia, Mercy Malaysia, Suriana Welfare Society Malaysia dan WWF-Malaysia.

Dalam satu kenyataan hari ini, SC berkata NGO berkenaan akan terlibat dengan SC untuk berkongsi data dan maklumat yang berkaitan serta memberikan input mengenai bidang yang telah dikenal pasti oleh SC sebagai kunci kepada pembangunan bursa tersebut.

Komponen utama SEPP25 akan merangkumi keperluan pengumpulan dana projek sosial yang perlu dipenuhi, laporan impak sosial dan program pembinaan kapasiti, kata kenyataan itu.

"Di samping itu, proses pengumpulan dana berdasarkan parameter yang akan ditetapkan oleh SC juga akan menunjukkan keupayaan mereka untuk melaporkan hasil projek dengan sewajarnya.

"Langkah-langkah ini akan berguna apabila SC memuktamadkan keperluan yang berkaitan untuk rangka kerja Bursa Sosial kelak," katanya.

SC turut menubuhkan sebuah jawatankuasa penasihat, disokong oleh jawatankuasa pelaksana, untuk memberi bimbingan dan nasihat sepanjang pendekatan berperingkat inisiatif itu.

SEPP25 mengorak langkah mewujudkan Bursa Sosial pertama negara ini untuk mengumpul dana khusus bagi projek dengan hasil sosial yang positif melalui penggemblengan pembiayaan sektor swasta atau modal dermawan. Ia dijangka beroperasi sepenuhnya pada 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan mengenai program ini pada Forum Global Ekonomi dan Kewangan Islam pada Mei lepas. 

Pengerusi SC Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata inisiatif itu memperkukuh usaha berterusan SC dalam memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan dan tepat pada masanya kerana ia sesuai dengan tema Keterangkuman dan Kelestarian ASEAN Malaysia 2025.

Beliau berkata Bursa Sosial juga memperkukuh kelebihan daya saing bagi kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam dan mengukuhkan ekosistem impak sosial Malaysia.

Fasa perintis ini penting untuk pembangunan awal Bursa Sosial kerana ia akan memudahkan penciptaan platform yang menawarkan cara yang boleh dipercayai dan telus untuk penderma menjejaki impak sumbangan mereka.

Platform itu juga  akan berfungsi untuk memastikan setiap Ringgit memacu perubahan yang bermakna dan menyediakan pendedahan serta pelaporan yang mencukupi, katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan