KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Pelancaran semula rundingan bagi Perjanjian Perdagangan Bebas Kesatuan Eropah-Malaysia (MEUFTA) merupakan detik penting dalam peningkatan hubungan perdagangan dan integrasi ekonomi antara kedua-dua pihak.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Pesuruhjaya Perdagangan Suruhanjaya Eropah menerusi satu kenyataan bersama hari ini berkata perjanjian perdagangan bebas yang moden dan dinamik akan membawa manfaat bersama, membuka pintu kepada peluang perniagaan baharu dan meningkatkan daya tahan rantaian bekalan.
“Rundingan ini dimulakan pada saat bersejarah. Dalam landskap geopolitik semasa yang kian berubah, adalah penting untuk membina perkongsian baharu, memupuk kerjasama dan meneroka peluang baharu.
“Kami mengalu-alukan rundingan pusingan pertama yang produktif dalam beberapa bulan akan datang,” kata Menteri MITI Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz dan Presiden Pesuruhjaya Keselamatan Perdagangan dan Ekonomi Suruhanjaya Eropah, Maroš Šefčovič menerusi kenyataan tersebut.
.Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen, hari ini mengumumkan penyambungan semula rundingan MEUFTA yang ditangguhkan pada 2012 selepas dilancarkan pada 2010.
Pengumuman tersebut dibuat bersempena lawatan kerja Perdana Menteri ke Brussels, Belgium pada 19 - 20 Januari 2025.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial