EKONOMI > BERITA

Unit WTK Holdings Cadang Terbit Program Sukuk Wakalah RM1.0 Bilion

20/01/2025 08:41 PM

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh WTK Holdings Bhd, WTK Capital Sdn Bhd bercadang menerbitkan program nota jangka masa sederhana Islam pada nilai nominal sehingga RM1.0 bilion berdasarkan prinsip syariah Wakalah Bi Al-Istithmar (Program Sukuk Wakalah).

WTK Holdings menjelaskan tempoh Program Sukuk Wakalah itu adalah sehingga 30 tahun dari tarikh terbitan pertama Sukuk Wakalah.

“Terbitan pertama Sukuk Wakalah di bawah program itu akan dibuat dalam tempoh 90 hari urus niaga iaitu bermula tarikh serah atau dalam tempoh masa lain yang mungkin ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia,” tambahnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Isnin.

Menurut WTK Holdings program itu membenarkan terbitan Sukuk Wakalah dari semasa ke semasa, dengan setiap terbitan mungkin sama ada diberi penarafan atau tidak diberi penarafan dan akan ditentukan sebelum terbitan Sukuk Wakalah.

WTK Capital boleh menerbitkan Sukuk Wakalah dari semasa ke semasa dan hasilnya digunakan oleh WTK Holdings dan anak-anak syarikatnya, kecuali anak-anak syarikat yang terlibat dalam operasi perniagaan makanan, untuk tujuan patuh syariah terutama perbelanjaan modal, modal kerja, dan tujuan korporat am.

RHB Investment Bank Bhd ialah penasihat utama, pengatur utama, dan pengurus utama bagi Program Sukuk Wakalah itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan