EKONOMI > BERITA

Terbitan Bon Korporat Dijangka Cecah RM120 Bilion Pada 2025 - RAM Ratings

21/01/2025 01:12 PM

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- RAM Ratings menjangkakan terbitan bon korporat kekal positif anatara RM110 bilion-RM120 bilion pada 2025, disokong oleh pembiayaan infrastruktur dan keperluan pembiayaan perniagaan.

Agensi penarafan itu menyatakan bahawa terbitan bon korporat naik kepada RM124.2 bilion pada 2024, melepasi RM118.3 bilion tahun sebelumnya, didorong oleh sektor kewangan (RM51.7 bilion) dan hartanah (RM19.9 bilion).

Ia juga mengunjurkan terbitan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) dan Terbitan Pelaburan Kerajaan (GII) terus berkurangan kepada RM155 bilion-RM165 bilion pada 2025.

"Ini mengambil kira keperluan pembiayaan defisit kerajaan yang lebih kecil, sejajar dengan komitmennya terhadap penyatuan fiskal serta keperluan pembiayaan semula pada kadar sederhana untuk hutang matang tahun ini," katanya.

Pada 2024, terbitan kasar MGS dan GII menyederhana kepada RM176.7 bilion, susut daripada RM190.9 bilion dicatatkan pada 2023.

Sementara itu, pasaran bon Malaysia menyaksikan aliran masuk dana asing menyederhana sebanyak RM4.8 bilion pada 2024 berbanding RM23.6 bilion pada 2023.

"Walaupun penjualan pasaran bon berkurangan menjelang akhir tahun, pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah menunjukkan kekurangan pemangkin dalam merangsang permintaan pelabur asing pada 2025," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan