Daripada Anas Abu Hassan
DAVOS (Switzerland), 21 Jan (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual memulakan agenda padat hari pertama beliau di Sidang Kemuncak Tahunan Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di sini dengan menghadiri mesyuarat perniagaan bersama syarikat-syarikat multinasional.
Anwar yang juga Menteri Kewangan, akan menemui barisan pemimpin korporat mewakili AstraZeneca, DP World, Medtronics, Nestle, Google, dan Fortescue pada sesi pagi.
Pada tengah hari, beliau akan menyampaikan ucaptama pada Dialog Strategi Negara -- satu sesi bersama pemimpin perniagaan yang dikendalikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Acara itu merupakan platform untuk berkongsi keutamaan strategik serta inisiatif Malaysia dalam perdagangan dan pelaburan selain meneroka peluang kerjasama bagi mengukuhkan daya tahan ekonomi negara.
Jadual padat Perdana Menteri yang juga bertepatan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, diteruskan dengan menghadiri Mesyuarat Pemimpin ASEAN bagi Peralihan Tenaga Adil yang diterajui oleh syarikat minyak dan gas negara, Petronas.
Anwar seterusnya akan berucap pada taklimat media bersama ketua dan wakil organisasi media antarabangsa bertemakan “Unlocking ASEAN’s Digital Future: Driving Inclusive Growth and Global Competitiveness."
Pada taklimat itu, beliau akan memberi tumpuan terhadap Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) dan peluang transformasi ekonomi digital.
Beliau akan mengakhiri jadual padat hari pertama di WEF 2025 dengan menghadiri majlis makan malam perasmian yang dihoskan oleh Pengasas dan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah WEF Klaus Schwab.
Perdana Menteri tiba di Davos dari Brussels pada lewat malam Isnin bagi lawatan kerja tiga hari dan menghadiri Sidang Kemuncak Tahunan peringkat tinggi WEF 2025.
Selain Tengku Zafrul, Anwar diiringi oleh Menteri Kabinet seperti Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Digital Gobind Singh Deo dalam lawatan berkenaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial