EKONOMI > BERITA

Asian Supply Base Lancar Kemudahan Pertukaran Kru, Tingkat Kecekapan Operasi Luar Pesisir

22/01/2025 02:56 PM

LABUAN, 22 Jan (Bernama) -- Asian Supply Base (ASB) secara rasmi melancarkan Kemudahan Pertukaran Kru baharu yang direka untuk meningkatkan kecekapan proses masuk dan keluar kalangan petugas minyak dan gas.

Kemudahan ini menandakan kemajuan yang signifikan bagi operasi luar pesisir di Malaysia.

Ia dirasmikan bersama oleh Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Labuan Corporation (LC), Mohd Sukuran Taib.

Suhaili yang juga merupakan Pengerusi ASB Sdn Bhd menekankan peranan penting ASB sebagai pangkalan bekalan yang boleh dipercayai untuk sektor minyak dan gas, terutamanya di perairan Sabah.

"ASB sedang membuat pelaburan sebanyak RM25 juta untuk pembangunan kemudahan kendiri ini yang dijadualkan siap pada November 2025.

"Berikutan pewartaan Menteri Dalam Negeri pada 16 Dis, 2024, ASB diiktiraf secara rasmi sebagai tempat pendaratan yang dibenarkan dan pusat kemasukan untuk pemegang pas pekerja dalam industri minyak dan gas yang dikeluarkan oleh Pengarah Imigresen Sabah," katanya kepada Bernama selepas pelancaran tapak kemudahan itu di sini hari ini.

Suhaili berkata kemudahan ini merupakan langkah penting dalam mempermudahkan proses pertukaran kru atau anak kapal untuk operasi luar pesisir selain membolehkan ASB berfungsi sebagai pusat imigresen yang ditetapkan.

Beliau berkata Terminal Sementara Pertukaran Kru (TCC) di ASB kini dilengkapi dengan perkhidmatan imigresen, berkat sokongan daripada Imigresen Sabah dan Labuan bagi memastikan pergerakan kru yang lancar dan teratur.

Suhaili berkata pembangunan baharu ini dijangka memberikan manfaat ekonomi yang besar kepada Labuan, merangsang perniagaan tempatan, mencipta peluang pekerjaan dan menarik lebih banyak pelaburan daripada pemain tenaga global dan serantau.

 Beliau berkata, perkembangan terbaharu ini akan mengukuhkan status Labuan sebagai pusat logistik luar pesisir yang penting.

"Pembukaan Kemudahan Pertukaran Kru menunjukkan komitmen kami untuk menyediakan penyelesaian logistik bertaraf dunia sambil memupuk pertumbuhan ekonomi di Labuan.

"Kami berbangga untuk bekerjasama dengan peneraju industri seperti Petronas dan Kontraktor Pengatur Petroleum (PAC) lain dalam usaha ini," katanya.

Suhaili berkata Kemudahan Pertukaran Kru ASB akan mempertingkatkan operasi luar pesisir Malaysia, mempermudahkan logistik dan memberikan impak ekonomi positif kepada komuniti setempat.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan