KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Perbincangan bersama syarikat penjagaan kesihatan dan penyelesaian kecerdasan buatan (AI), Yidu Tech Inc berpotensi mewujudkan kerjasama bagi mengubah infrastruktur penjagaan kesihatan dan perubatan Malaysia.
Menteri Digital Gobind Singh Deo menyatakan harapan itu selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi merangkap Pengasas Yidu Tech Gong Ying Ying pada luar acara Forum Ekonomi Dunia (WEF) 2025 di Davos, Switzerland, yang akan berakhir esok.
Gobind antara delegasi Malaysia ke forum peringkat tinggi tahunan itu, yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Berlandaskan Dialog Strategi Negara yang komprehensif yang dibentangkan oleh Perdana Menteri di WEF di Davos, kami telah mengadakan perbincangan mendalam mengenai pemanfaatan analisis data lanjutan untuk membangunkan penyelesaian digital dan AI yang inovatif.
"Teknologi termaju ini akan mencapai beberapa objektif penting: mengurangkan dengan ketara beban kerja harian profesional kesihatan, meningkatkan kualiti dan keberkesanan penyampaian rawatan pesakit, dan akhirnya mencapai pengurangan yang signifikan dalam kos keseluruhan sistem penjagaan kesihatan," kata Gobind dalam satu hantaran di platform X hari ini.
Yidu Tech beroperasi terutamanya dalam tiga segmen perniagaan iaitu platform data raya dan penyelesaian, penyelesaian sains hayat, dan platform pengurusan kesihatan dan penyelesaian.
Syarikat yang diasaskan pada 2014 ini disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial