KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melancarkan tema mesyuarat sektor tenaga ASEAN 2025 iaitu “Powering ASEAN: Bridging Boundaries, Building Prosperity”.
Menurut PETRA, tema itu menekankan keperluan memperkasakan agenda tenaga dengan merapatkan lagi jurang antara negara ASEAN untuk membina kemakmuran dan mencapai kemajuan di rantau ini.
“Menerusi usaha berasaskan tema ini, kualiti kehidupan rakyat akan dapat ditingkatkan melalui pertumbuhan ekonomi yang mengutamakan agenda keterangkuman dan kemampanan,” jelasnya dalam kenyataan pada Jumaat.
Tema itu dilancarkan sempena Mesyuarat Khas Pegawai Kanan ASEAN mengenai Tenaga yang diadakan pada 23 Jan, 2025 selepas beberapa mesyuarat berkaitan yang berlangsung sehari sebelum itu, menurutnya.
PETRA menjelaskan mesyuarat itu telah menerima lapan keutamaan tahunan yang dicadangkan untuk sektor tenaga ASEAN 2025.
“Terutama, di bawah agenda Grid Kuasa ASEAN (APG) adalah kelulusan untuk menandatangani dokumen memorandum persefahaman (MoU) APG yang dipertingkatkan dan perbincangan mengenai terma rujukan untuk rangka kerja pembangunan kabel kuasa bawah laut serta pengumuman mengenai mekanisme pembiayaan untuk APG,” jelasnya.
PETRA menjelaskan selain itu, mesyuarat juga menerima kelulusan untuk menandatangani perjanjian penggantian Perjanjian Jaminan Petroleum ASEAN (APSA); melancarkan Pangkalan Data Kecekapan Tenaga ASEAN dan Platform Pelaburan (Pembangunan); memuktamadkan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu serta memulakan pembangunan rangka kerja Pensijilan Tenaga Boleh Baharu ASEAN.
Mesyuarat itu juga menerima kelulusan dokumen dasar mengenai Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga (APAEC) 2026-2030 serta usaha awal Pembangunan Rangka Kerja bagi Pelaksanaan Loji Jana Kuasa Nuklear.
Mesyuarat itu turut menerima dua output Keberhasilan Utama Ekonomi berkaitan tenaga bagi 2025 iaitu pemeteraian dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan untuk APG dan dokumen Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu 2026- 2030.
“Kedua-dua dokumen ini penting untuk memupuk kerjasama berterusan dalam kalangan negara anggota ASEAN bagi memajukan sektor tenaga, sekali gus memastikan bekalan tenaga yang terjamin dan mampan untuk rantau ini,” tambah PETRA.
Mesyuarat juga telah bersetuju dengan cadangan dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) yang dipertingkatkan untuk APG dan pemeteraian Perjanjian Rangka Kerja ASEAN bagi Jaminan Petroleum.
"Mesyuarat juga telah membincangkan draf APSA diikuti dengan pembentangan oleh Pusat Tenaga ASEAN mengenai terma rujukan untuk rangka kerja pembangunan kabel tenaga bawah laut, yang kedua-duanya akan membentuk struktur sokongan penting bagi aspirasi Grid Kuasa ASEAN,” jelas PETRA.
Mesyuarat Khas Pegawai Kanan ASEAN mengenai Tenaga telah dihoskan oleh PETRA dari 22 hingga 24 Januari di Langkawi, Kedah.
Hari pertama mesyuarat itu dihadiri oleh delegasi dari Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, manakala Timor Leste hadir sebagai pemerhati.
PETRA juga akan mempengerusikan dua mesyuarat utama sektor tenaga, iaitu Mesyuarat Pegawai Kanan mengenai Tenaga di Kuching, Sarawak dari 16 hingga 20 Jun, 2025 dan Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN ke-43 di Kuala Lumpur dari 22 hingga 26 September ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial