EKONOMI > BERITA

Penganalisis Kekal Optimis Prospek Bursa Malaysia Dipacu Pendapatan, IPO Lebih Kukuh

28/01/2025 06:10 PM

KUALA LUMPUR, 28 Jan (Bernama) -- Kalangan penganalisis mengekalkan prospek positif terhadap Bursa Malaysia Bhd susulan pengumuman prestasi pendapatannya yang kekal kukuh dalam tahun kewangan 2024.

Keuntungan bersih Bursa Malaysia melonjak 22.9 peratus kepada RM310.12 juta pada tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2024 (TK2024) daripada RM252.38 juta pada tahun sebelumnya, disokong oleh pengukuhan pasaran sekuriti dan derivatif serta prestasi perniagaan data.

Perolehan hasilnya turut meningkat kepada RM784.30 juta daripada RM616.49 juta, sebelum ini.

Kenanga Investment Bank Bhd (Kenanga IB) berkata Bursa Malaysia telah menggariskan penyenaraian lebih kukuh bagi 60 tawaran awam permulaan (IPO) untuk TK2025, walaupun kekal berhati-hati terhadap pendapatannya.

“Bagi kemajuan TK2025, Bursa Malaysia menyasarkan penyenaraian sebanyak 60 IPO yang lebih kukuh (merentasi Pasaran Utama, ACE dan LEAP) dengan jumlah permodalan pasaran IPO sebanyak RM40.2 bilion," katanya dalam nota tinjauannya hari ini.

Kenanga IB turut mengunjurkan purata nilai harian (ADV) sebanyak RM3.30 bilion bagi TK2025 dan  menjangkakan kelemahan pasaran pada masa ini susulan pelantikan Presiden Donald Trump, akan mereda.

“Minat dagangan dalam ekuiti Malaysia dapat dihidupkan semula oleh penerima manfaat baru di Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, pembangunan pusat data (termasuk pembina dan pemilik tanah) dan pengeksport bersih yang meraih manfaat daripada potensi penyusutan ringgit,” katanya.

Sementara itu, MIDF Amanah Investment Bank pula mengunjurkan keuntungan sebelum cukai (PBT) lebih rendah antara RM369 juta dan RM408 juta Bursa Malaysia bagi TK2025.

"Kami percaya ini wajar memandangkan keadaan pasaran semasa selain jangkaan sentimen yang tidak menentu," katanya dalam nota tinjauan berasingan.

Dalam pada itu, Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) menyemak semula saranannya dengan menjangkakan dagangan lebih berhati-hati dalam senario Trump 2.0.

"Bagi TK2025, semakan semula kami adalah RM3 bilion dalam ADV ekuiti, berkurangan daripada RM3.7 bilion sebelum ini manakala kontrak derivatif yang mendatar (sebelum ini +5 peratus bagi tahun ke tahun)," katanya dalam nota penyelidikannya.

Dari segi saranan, Kenanga IB mengekalkan 'outperform' atau belian sederhana dengan harga sasaran lebih tinggi sebanyak RM9.70 -- meningkat daripada RM8.47 manakala MIDF mengekalkan pendirian 'neutral' dengan harga sasaran kekal pada RM8.80.

Maybank IB pula mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasarannya pada RM8.35.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan