KUALA LUMPUR, 31 Jan (Bernama) -- Jumlah permintaan penumpang udara mencapai rekod tertinggi pada 2024 dengan lonjakan jumlah trafik sebanyak 10.4 peratus berbanding tahun lepas, menurut Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).
Dalam satu kenyataan, IATA berkata jumlah trafik udara yang diukur menerusi hasil penumpang bagi setiap kilometer (RPK) mengatasi paras sebelum pandemik sebanyak 3.8 peratus.
"Jumlah kapasiti yang berdasarkan tempat duduk disediakan bagi setiap kilometer menokok sebanyak 8.7 peratus, manakala faktor muatan mencatat rekod sebanyak 83.5 peratus iaitu pencapaian tahap tertinggi untuk trafik sepanjang tahun,” katanya.
Ketua Pengarah IATA Willie Walsh berkata 2024 membuktikan keinginan orang ramai untuk melakukan perjalanan adalah sangat tinggi.
"Permintaan untuk perjalanan dalam dan luar negara mencipta rekod pada kadar pertumbuhan 10.4 peratus dengan syarikat penerbangan berjaya memenuhi permintaan ini dengan cekap.
"Secara purata, 83.5 peratus daripada semua tempat duduk telah diisi, iaitu rekod tertinggi baharu, sebahagiannya disebabkan oleh kekangan rantaian bekalan yang mengehadkan pertumbuhan kapasiti,” katanya.
Melihat ke hadapan, IATA menjangkakan permintaan perjalanan udara akan terus berkembang pada tahun 2025, walaupun pada kadar yang lebih perlahan iaitu lapan peratus.
Walsh juga menekankan komitmen industri untuk mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net zero) menjelang 2050, dengan menegaskan keperluan untuk meningkatkan ketersediaan dan kemampuan menggunakan Bahan Bakar Penerbangan Mampan (SAF).
"Meskipun syarikat penerbangan melabur dalam pembelian SAF pada 2024, kurang daripada lima peratus keperluan bahan api dapat dipenuhi oleh SAF. Kerajaan disyorkan untuk mengukuhkan keterjaminan tenaga negara mereka dan menyelesaikan masalah ini dengan mengutamakan pengeluaran bahan api boleh baharu,” katanya.
IATA mewakili kira-kira 320 syarikat penerbangan yang merangkumi 83 peratus daripada trafik udara global.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial