EKONOMI > BERITA

Untung Bersih Sunway REIT Naik Kepada RM524.75 Juta Bagi Tahun Kewangan 2024

03/02/2025 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Sunway Reit Management Sdn Bhd, pengurus Sunway Real Estate Investment Trust (Sunway REIT) merekodkan peningkatan keuntungan bersih kepada RM524.75 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2024 daripada RM338.19 juta pada tahun sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, katanya perolehan bagi tahun kewangan 2024 meningkat kepada RM767.14 juta daripada RM715.68 juta sebelumnya.

Sunway Reit dalam kenyataan berkata pertumbuhan teguh itu didorong terutamanya daripada sumbangan sembilan hartanah baharu yang diambil alih pada sepanjang tahun, prestasi kukuh segmen runcit dan hotel serta prestasi stabil daripada segmen lain.

Ia mencadangkan agihan seunit (DPU) sebanyak 5.34 sen bagi separuh kedua tahun kewangan 2024, menjadikan jumlah DPU sebanyak 10 sen bagi keseluruhan tahun kewangan itu.

"Selain itu, harga saham Sunway REIT melonjak 31 sen atau 20.1 peratus kepada RM1.85 pada akhir tahun kewangan 2024 daripada RM1.54 pada akhir tahun kewangan 2023.

"Berdasarkan RM1.85, jumlah DPU sebanyak 10 sen mewakili hasil pengagihan sebanyak 5.4 peratus dan pulangan keseluruhan 25.5 peratus kepada pemegang unit untuk tahun kewangan 2024," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Clement Chen berkata DPU yang lebih tinggi ini adalah hasil daripada peningkatan pendapatan hartanah bersih sebanyak RM569.7 juta yang didorong pengambilalihan baharu dan inisiatif penambahbaikan aset (AEI) yang telah dilaksanakan.

"Semua pengambilalihan ini menyumbang kepada hasil yang lebih tinggi dalam portfolio Sunway REIT dan dijangka meningkatkan prestasi dan DPU pada 2025.

“Selain itu, kejayaan pengubahsuaian Oasis Sunway Pyramid yang dibuka pada 1 Nov 2024 dijangka turut menyokong pertumbuhan kami,” katanya.

Mengenai prospek, Chen berkata Sunway REIT mempunyai prospek cerah untuk tahun kewangan 2025 berikutan syarikat akan melihat impak sepenuhnya daripada pengambilalihan dan AEI baru-baru ini.

"Sektor utama kami iaitu runcit dan hospitaliti juga dijangka mendapat manfaat daripada kenaikan gaji minimum, peningkatan gaji sektor awam dan pertambahan kedatangan pelancong yang berterusan.

"Sementara itu, kami akan terus giat memantau pasaran bagi peluang pengambilalihan terutama dalam segmen runcit, industri dan perkhidmatan sebagai tambahan kepada pengambilalihan AEON Sri Manjung Mall yang diumumkan baru-baru ini," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan