EKONOMI > BERITA

Malaysia Buka Jaringan Dengan Negara Lain Beri Ruang Pelaburan Baharu, Tingkatkan Eksport - PM Anwar

04/02/2025 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 4 Feb (Bernama) -- Langkah agresif Malaysia membuka jaringan dengan negara lain melalui dasar bebas dan berkecuali diamalkan negara dapat memberi ruang kepada pelaburan baharu dan meningkatkan eksport negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata meskipun hubungan dilihat lebih cenderung kepada China, Brazil, Afrika Selatan, Kanada dan Mexico, namun hubungan perdagangan dengan Amerika Syarikat (AS) berjalan seperti biasa.

“AS masih rakan perdagangan yang penting. Perdagangan dengan AS sebanyak 11 peratus adalah agak tinggi dan eksport Malaysia ke AS hampir 13 peratus,” kata beliau pada Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Anwar menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) yang ingin mengetahui mengenai kedudukan Malaysia terhadap perang perdagangan dunia yang dicetuskan oleh pelaksanaan tarif oleh Presiden AS.

Lim juga ingin tahu sama ada Malaysia akan berdiri bersama negara China, Kanada dan Mexico serta langkah kewangan dan fiskal untuk melindungi ekonomi dan rakyat Malaysia daripada kesan tarif tersebut.

Anwar berkata negara tidak boleh mengambil tindakan terlalu pantas kerana ada ketidaktentuan bukan sahaja geopolitik tetapi beberapa keputusan yang diumumkan oleh Presiden AS Donald Trump.

“Umpamanya ada perubahan (dasar) pagi semalam apabila beliau (Turmp) tidak akan meneruskan dan memberi penangguhan terhadap pelaksanaan tarif untuk Kanada dan Mexico. Oleh itu, dalam tempoh sebulan, perubahan dasar dijangka berlaku atau dikekalkan,” kata beliau.

Selain membuka jaringan kepada rakan dagang yang lebih luas, Anwar berkata kerajaan juga perlu menentukan program-program pertumbuhan diperluaskan mengikut dasar yang telah diumumkan termasuk pelan perindustrian, transisi tenaga dan digital.

Kesepakatan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) untuk menyuntik sejumlah RM120 bilion dalam projek pembangunan negara untuk tempoh lima tahun juga dilihat dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Ini juga ditambah dengan beberapa langkah fiskal termasuk rasionalisasi subsidi yang tentunya akan menentukan kadar pertumbuhan kita terjamin dan inflasi terkawal,” kata beliau.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan