KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) mengekalkan andaian harga minyak sawit mentah (MSM) pada RM4,000 satu tan pada 2025 dan RM3,800 satu tan pada 2026.
Menurut HLIB dalam nota penyelidikan hari ini, keputusan itu berdasarkan jangkaan bahawa harga MSM akan kekal tinggi dalam masa terdekat, berkemungkinan sehingga suku pertama 2025 berikutan pengeluaran yang rendah.
“Unjuran harga kami mengandaikan cuaca akan kembali normal. Walaupun berlaku La Niña, ia dijangka sederhana dan dalam jangka masa pendek.
“Selain itu, pelaksanaan program B40 Indonesia dijangka secara berperingkat,” katanya.
Oleh itu, HLIB mengekalkan pendirian “neutral” ke atas sektor perladangan berikutan harga MSM yang tinggi dijangka tidak akan berterusan selepas suku pertama 2025.
Menurut HLIB, syarikat perladangan turut dijangka melaporkan pendapatan huluan yang lebih tinggi bagi prestasi pada suku keempat 2024 berikutan harga produk sawit yang tinggi dapat mengimbangi pengeluaran tandan buah segar yang rendah mengikut musim.
“Pada suku tahun tersebut, syarikat perladangan yang mempunyai pendedahan huluan lebih besar di Indonesia dijangka mencatatkan prestasi lebih baik berbanding syarikat perladangan di Malaysia, didorong oleh perubahan corak tanaman di Indonesia.
“Sebaliknya, pendapatan dalam segmen hiliran—terutamanya subsegmen penapisan—dijangka tidak memberangsangkan berikutan perbezaan cukai eksport dan levi antara Malaysia dan Indonesia serta harga produk sawit yang tinggi pada suku keempat 2024,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial