EKONOMI > BERITA

Tarif AS: Malaysia Ambil Pendekatan Berhati-hati, Sedia Manfaatkan Peluang Geopolitik

05/02/2025 10:17 PM

Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Masih terlalu awal untuk menentukan sama ada tarif yang dikenakan Washington ke atas Kanada, Mexico dan China akan memudaratkan atau memberi manfaat kepada Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata walaupun sebelum ini negara mendapat manfaat daripada ini, namun tidak semestinya manfaat yang sama akan diraih.

“Bagi negara perdagangan terbuka seperti Malaysia (yang nisbah perdagangan kepada keluaran dalam negara kasar adalah 130 peratus), kestabilan jangka panjang dalam pasaran perdagangan global amat penting.

“Kita juga tidak tahu tindakan selanjut Amerika Syarikat (AS) akan lakukan kepada Malaysia dan negara-negara jiran kita,” katanya menerusi Program Bernama TV, Ruang Bicara Aspirasi Ekonomi, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan mengenai langkah AS mengenakan tarif 25 peratus ke atas import dari Kanada dan Mexico,  serta tarif tambahan 10 peratus ke atas import dari China pada 4 Februari lalu.

Menurut Tengku Zafrul, walaupun perang perdagangan antara AS-China yang dilihat semakin tegang boleh menjejaskan sektor tertentu, namun Malaysia berkemungkinan boleh mendapat limpahan positif dalam jangka masa pendek.

Beliau berkata ketegangan perdagangan ini sebenarnya telah bermula sejak pentadbiran kali pertama Donald Trump yang kemudiannya diteruskan oleh Joe Biden, dan setelah mengambil alih sekali lagi pentadbiran AS, Trump menghidupkan semula momentum ini.

“Perang perdagangan telah membawa kepada peralihan rantaian bekalan global, dengan pelabur mencari lokasi alternatif yang lebih stabil... ia beralih kepada negara-negara berkecuali seperti Malaysia, seperti ASEAN dan beberapa negara-negara atau blok ekonomi yang lain.

“Negara berkecuali seperti Malaysia dan ASEAN menjadi destinasi pilihan kerana kita menawarkan ekosistem yang kukuh dan iklim pelaburan yang kondusif..dan disebabkan peralihan ini, negara kita merekodkan peningkatan dalam nilai eksport.

“Malaysia menjadi pilihan kerana kestabilan politik, ekonomi terbuka dan status berkecuali dalam arena geopolitik,” katanya.

Beliau berkata, tahun lepas eksport Malaysia mencapai rekod tertinggi, dipacu oleh sektor elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor.

 

Malaysia Kekal Berkecuali, Fokus Tarik Pelaburan

 

Seiring dengan ketegangan geopolitik global, Malaysia mengekalkan pendirian berkecualinya dan terus menarik pelaburan berkualiti, kata Tengku Zafrul.

Pada 2023, negara mencatatkan pelaburan yang diluluskan bernilai lebih RM330 bilion, meningkat 10 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama berbanding tahun sebelumnya.

Menurutnya, Malaysia juga aktif memperkukuh dasar pelaburan, termasuk melalui Dasar Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Strategi Semikonduktor Nasional.

“Pelaburan bukan sahaja bernilai tinggi tetapi harus memberi limpahan ekonomi kepada syarikat tempatan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

“Dengan ketegangan perdagangan yang berlanjutan, syarikat global cenderung memilih negara yang mempunyai ekosistem mantap, ekonomi terbuka, serta perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang kukuh,” jelasnya.

Beliau berkata Malaysia memiliki kelebihan kerana telah menandatangani 16 FTA, termasuk yang terbaharu bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE).

“Kita juga sedang merundingkan semula FTA dengan Kesatuan Eropah dan Korea Selatan,” katanya.

 

Peluang dan Cabaran di Sebalik Pergolakan Global

 

Namun begitu, Tengku Zafrul berkata dalam tempoh jangka panjang, kelembapan pertumbuhan global boleh menjejaskan permintaan dan memberi kesan terhadap rantaian bekalan.

Beliau menekankan kepentingan ASEAN untuk mengukuhkan perdagangan dalaman dan tidak terlalu bergantung kepada ekonomi besar dunia.

“ASEAN adalah blok ekonomi kelima terbesar dunia dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) berjumlah US$3.8 trilion, tetapi perdagangan sesama negara ASEAN masih kurang daripada 25 peratus... Kita perlu meningkatkan integrasi ekonomi serantau.

“Selain itu, Malaysia juga berusaha untuk mempelbagaikan pasaran eksport ke rantau lain seperti Afrika dan Amerika Selatan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kuasa ekonomi utama,” katanya. 

Mengulas mengenai kebimbangan AS terhadap aspek keselamatan teknologi, Tengku Zafrul menegaskan Malaysia komited terhadap pematuhan peraturan antarabangsa.

“Kita perlu memastikan penguatkuasaan dan perbincangan yang berterusan dengan AS dan China bagi meyakinkan mereka bahawa Malaysia kekal sebagai rakan dagang yang bertanggungjawab.

“Malaysia akan terus memantau perkembangan global dan bersedia untuk bertindak balas terhadap sebarang perubahan dasar perdagangan utama….dan kita mesti bersedia untuk memanfaatkan peluang yang muncul daripada cabaran ini,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan