PUTRAJAYA, 6 Feb (Bernama) -- Pengauditan terhadap hampir 2,000 syarikat milik kerajaan menggunakan sistem e-SelfAudit berasaskan kecerdasan buatan (AI) bertujuan menangani beberapa kelemahan seperti kegagalan mengurus dan menyelia operasi syarikat serta kerugian yang berterusan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Jabatan Audit Negara (JAN) akan melaksanakan pengauditan tersebut bermula tahun ini dengan pelaksanaan kaedah pengauditan rintis menggunakan sistem tersebut yang dimulakan sejak November 2024.
“Lebih penting, sistem ini dibangunkan secara dalaman melalui Projek Pendigitalan JAN tanpa implikasi kos tambahan kepada kerajaan,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Pelaksanaan Pengauditan Syarikat Kerajaan di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pengauditan ini bertujuan menangani isu tatakelola yang dikenal pasti dalam syarikat kerajaan termasuk kelemahan pemantauan terhadap laporan pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan pelan strategik syarikat.
Antara isu lain yang dikenal pasti ialah kegagalan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) memainkan peranan dalam mengurus dan menyelia operasi syarikat serta kerugian berterusan di peringkat syarikat induk dan anak syarikat.
“Keuntungan syarikat yang tidak diagihkan semula kepada kerajaan sebagai pulangan juga menjadi satu isu utama, selain kelemahan Jawatankuasa Pelaburan dan Jawatankuasa Audit dalam memberi pandangan dan nasihat kepada Lembaga Pengarah,” kata beliau.
Anwar turut menegaskan keputusan signifikan syarikat termasuk pembayaran gaji dan perkhidmatan sering kali tidak dibawa untuk kelulusan Lembaga Pengarah, menjejaskan integriti pengurusan.
Bagi memperkukuh tatakelola, beliau berkata kerajaan telah mengeluarkan arahan Gerakan Pemantapan Tatakelola Nasional: Tatakelola Syarikat Berkepentingan Kerajaan (SBK) dan Syarikat Bhd Menurut Jaminan (CLBG) pada 20 Mei 2024.
“Arahan ini memberi panduan dalam pelaksanaan peraturan dan prosedur pengurusan syarikat berkepentingan kerajaan yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Jabatan Audit Negara atas usaha mereka melaksanakan pengauditan berskala besar ini yang pasti akan meningkatkan tahap ketelusan dan akauntabiliti dalam syarikat kerajaan,” kata beliau.
Pada majlis sama, Ketua Audit Negara Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata JAN telah mengeluarkan empat garis panduan pengauditan yang baharu iaitu Garis Panduan Pengauditan Pengurusan Syarikat Kerajaan; Garis Panduan Susulan Audit; Garis Panduan Follow The Public Money Audit (FPMA) dan Garis Panduan Sijil Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan.
“Ini merupakan kuasa baharu yang diperuntukkan di bawah Seksyen 7A Akta Audit dan Ketua Audit Negara boleh mengeluarkan apa-apa garis panduan sebagaimana perlu atau suai manfaat ke arah membudayakan tatakelola dan akauntabiliti pengurusan wang awam,” kata beliau.
Beliau berkata e-SelfAudit membolehkan proses pengauditan dilaksanakan dengan lebih cekap dan sistematik ke atas 1,856 syarikat kerajaan yang diwartakan merangkumi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan CLBG.
Langkah ini menunjukkan komitmen JAN dalam memastikan fungsi Semak dan Imbang terus diperkukuh bagi meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti pengurusan wang awam negara.
Turut hadir pada majlis itu termasuklah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial