EKONOMI > BERITA

Pos Shop Pertama Di Sabah Bantu PKS Jana Pendapatan

07/02/2025 06:19 PM

KOTA KINABALU, 7 Feb (Bernama) -- Pelancaran Pos Shop pertama di Sabah diharap akan dapat memenuhi kehendak pelanggan sekali gus memberikan manfaat kepada perusahanan kecil dan sederhana (PKS) bagi menjana pendapatan.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pembukaan kedai serbaneka itu turut membantu meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta menyokong agenda pembangunan ekonomi negeri.

Beliau berkata walaupun perkhidmatan pos masih digunakan untuk menghantar surat dan dokumen pada era digital kini, Pos Shop menyediakan perkhidmatan lebih moden dan relevan dengan kehendak pelanggan.

"Konsep ini membolehkan pejabat pos berfungsi sebagai pusat sehenti untuk komuniti setempat dengan menggabungkan perkhidmatan pos dan bungkusan yang meliputi kemudahan membeli-belah untuk keperluan harian dalam suasana yang lebih selesa dan menyenangkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena pelancaran Pos Shop pertama di Malaysia Timur di Pejabat Pos Besar Kota Kinabalu di sini hari ini.

Teks ucapan Hajiji dibacakan oleh Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri Datuk Phoong Jin Zhe disini hari ini.

Ketua Menteri berkata setakat Disember tahun lepas, lebih 80 usahawan PKS di seluruh negara menerima manfaat daripada cawangan Pos Shop menerusi tiga kategori produk iaitu makanan sedia dimakan, makanan dan minuman serta bukan makanan.

Pos Shop memperkenalkan pelbagai produk dan perkhidmatan untuk pelanggan sejajar dengan pelan transformasi Pos Malaysia untuk memanfaatkan rangkaian lebih 600 pejabat pos di seluruh negara termasuk 40 di Sabah.

Hajiji juga berharap Pos Malaysia menjadikan misi mereka untuk menyediakan perkhidmatan yang berkualiti dan mampan dalam apa jua keadaan, menerusi inisiatif yang dapat mengurangkan jejak karbon dan menyasarkan pelepasan karbon sifar bersih (NetZero) menjelang 2050.

“Saya dimaklumkan Pos Malaysia kini dalam proses untuk menggantikan kenderaan sedia ada kepada kenderaan elektrik menjelang 2030. Di Sabah, Pos Malaysia akan memperkenalkan 15 motosikal elektrik pertama pada bulan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia Berhad Charles Brewer berkata Pos Shop menyokong PKS tempatan dengan menyediakan platform untuk perniagaan mempamerkan dan menjual produk mereka, sebagai inisiatif syarikat itu untuk menyumbang kepada ekonomi tempatan dan memupuk ekosistem komuniti yang menguntungkan semua pihak.

Beliau berkata impak usaha itu amat ketara di 50 Pos Shop di seluruh negara yang merekodkan peningkatan 35 peratus untuk pejabat pos terlibat, membuktikan bahawa konsep 'kedai dalam kedai' mencorakkan semula cara Pos Malaysia berkhidmat kepada masyarakat.

"Pos Shop Kota Kinabalu mungkin yang pertama kami di Malaysia timur tetapi pastinya bukan yang terakhir, kami percaya ia akan menjadi pemangkin dalam merevolusikan pengalaman peruncitan untuk komuniti di Sabah dan Sarawak," tambahnya.

Pos Shop seluas 2,200 kaki persegi berkenaan terletak secara strategik di Jalan Segama di sini, menggabungkan perkhidmatan runcit dan pos kepada penduduk Sabah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan