EKONOMI > BERITA

Projek SOGIP RM8.88 Bilion Pemangkin Sabah Jadi Hab Tenaga Asia Tenggara

11/02/2025 04:43 PM

KOTA KINABALU, 11 Feb (Bernama) -- Sabah dijangka muncul sebagai hab tenaga utama di Asia Tenggara susulan pelancaran projek hab tenaga minyak dan gas (O&G) bernilai RM8.88 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek itu akan membuka banyak peluang bagi tujuan kerjasama, inovasi dan pembangunan dalam sektor O&G yang akan memberi manfaat kepada industri serta masyarakat setempat.

“SOGIP yang memudahcara bekalan gas asli dan bahan api rendah karbon lain, dapat menjadi penghubung aspek peralihan daripada kebergantungan bahan api fosil kepada penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) lebih besar seperti tenaga solar dan angin dalam campuran tenaga Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan Projek Hab Tenaga Minyak dan Gas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini yang turut mengetengahkan potensi projek dalam menjadikan Sabah sebagai pemain utama sektor tenaga serantau.

Pembangunan projek itu hasil kerjasama strategik antara Perbadanan Pembangunan Minyak dan Gas Sabah (SOGDC) yang menguruskan SOGIP dan Gibson Shipbrokers Limited dan akan dilaksanakan dalam dua fasa merangkumi pembinaan pelabuhan khusus bagi tujuan pengangkutan tenaga serta aktiviti perdagangan.

Hajiji turut berkongsi keyakinan terhadap sokongan padu rakan kongsi sektor swasta dan kerajaan yang membantu SOGIP menarik pelaburan tambahan dalam infrastruktur tenaga, kemajuan teknologi dan pengembangan industri.

Selain itu, sambil menegaskan komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan tempatan, beliau berkata penubuhan Majlis Kandungan Tempatan Sabah menerusi SMJ Energy pada Mei 2024, menjadi platform kerjasama pihak berkepentingan industri untuk mengenal pasti peluang meningkatkan pembangunan kapasiti bakat tempatan dalam industri O&G.

Menurut Hajiji, platform itu membolehkan kerajaan negeri memberi mandat kepada semua pihak berkepentingan untuk melabur dalam latihan dan pembangunan rakyat Sabah melalui program jangka pendek dan sederhana yang bakal dilaksanakan pada 2025.

“Seiring usaha Malaysia untuk terus mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran tenaga global, SOGIP akan memainkan peranan strategik bagi daya tahan ekonomi, kebebasan tenaga serta pertumbuhan perindustrian yang mampan," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan