EKONOMI > BERITA

Dasar AS Tidak Jejas Peluang Malaysia Tingkat Pelaburan Asing -- MIDA

12/02/2025 04:04 PM

BANGI, 12 Feb (Bernama) -- Malaysia masih berpeluang menarik lebih banyak syarikat asing, terutama yang beroperasi di negara-negara yang terkesan dengan dasar Amerika Syarikat (AS) walaupun berdepan cabaran geopolitik, demikian menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan Pelaburan) Zalina Zainol berkata risiko kesan negatif terhadap prestasi eksport Malaysia, khususnya semikonduktor adalah minimum berikutan kenaikan tarif oleh AS tidak melibatkan Malaysia secara langsung.

Namun, beliau mengingatkan sebarang kenaikan tarif tambahan terhadap semua import global boleh menyebabkan peningkatan harga dan kos pengeluaran eksport Malaysia ke AS.

“Perkembangan ini boleh mengganggu rantaian bekalan dan akhirnya memberi kesan kepada daya saing produk atau industri tertentu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbincangan bertajuk ‘Trump dan Dunia: Implikasi terhadap Malaysia’ anjuran Institut Pembangunan dan Kemajuan Inklusif Malaysia (MINDA) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Menjelaskan selanjutnya, Zalina berkata pada sesi Parlimen baru-baru ini, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz telah menegaskan bahawa kerajaan sedang berusaha secara proaktif untuk mengekalkan serta mengukuhkan hubungan perdagangan dan pelaburan dengan AS.

“Usaha ini penting bagi memastikan Malaysia tidak dikenakan kenaikan tarif sepertimana China, Kanada, dan Mexico. Tarif ke ke atas negara-negara berpunca daripada isu-isu yang melangkaui perdagangan dan pelaburan,” katanya.

Beliau berkata dasar ekonomi terbuka Malaysia juga mendedahkan negara kepada ketidaktentuan global yang berpunca daripada ketegangan geopolitik dan perubahan dasar di AS.

AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia sejak 2015 dengan menyumbang 13.2 peratus daripada jumlah eksport negara pada tahun lepas.

Antara eksport utama Malaysia ke AS adalah produk elektrik dan elektronik (E&E), jentera dan kelengkapan, serta produk getah.

Pada 2024, produk E&E menyumbang 40 peratus daripada jumlah eksport barangan Malaysia dengan 64 peratus daripadanya merangkumi semikonduktor.

Zalina berkata AS juga dalam kedudukan tiga teratas destinasi eksport semikonduktor Malaysia, selain China dan Singapura.

“Ini menunjukkan betapa pentingnya hubungan dua hala antara Malaysia dan AS terhadap pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan