KUALA LUMPUR, Feb 12 (Bernama) -- InDrive, platform mobiliti dan perkhidmatan bandar global, menjangkakan pendaftaran melebihi 40,000 pemandu di Malaysia menjelang akhir 2025.
Pengarah Makro Serantau Asia-Pasifik (APAC), Mark Tolley berkata syarikat itu komited untuk meningkatkan sokongan pemandu, melonjakkan peluang pendapatan selain memupuk kerjasama dengan persatuan pemandu tempatan.
Pertumbuhan InDrive di Malaysia mencerminkan bukti kekuatan modelnya, yang mengutamakan kesaksamaan, fleksibili dan pilihan kepada pengguna.
“Seiring dengan pengembangan pergerakan bandar, kami melihat keutamaan yang kukuh untuk platform yang mampu memperkasakan pemandu dan penumpang sambil menyesuaikan diri dengan keperluan pasaran tempatan,” katanya kepada pemberita semasa sesi perkongsian prestasi InDrive 2024 dan Unjuran 2025 di sini hari ini.
InDrive juga merancang untuk mengukuhkan kehadiran sedia adanya di Lembah Klang, Pulau Pinang, dan Johor Bahru.
Beliau menjelaskan syarikat itu sedang menubuhkan pusat sokongan pemandu mini di bandar-bandar utama seperti Pulau Pinang serta Johor Bahru, ia akan menyediakan bantuan setempat, latihan dan kebolehcapaian perkhidmatan yang lebih baik kepada pemandu.
"Perkhidmatan panggilan perjalanan sedang berkembang, dengan itu topik di sekitar kebajikan pekerja gig telah mula mendapat daya tarikan di seluruh Asia Tenggara termasuk Malaysia,” katanya lagi.
“InDrive sedang berusaha meningkatkan perlindungan insurans termasuk mengukuhkan kerjasama dengan persatuan pemandu dan teksi, menganjurkan struktur sokongan yang lebih baik bagi pemandu," katanya.
Menurut Tolley, Asia Tenggara kekal sebagai rantau utama untuk pertumbuhannya, memandangkan pasaran panggilan perjalanan dijangka menjana US$9.41 bilion (RM41.6 bilion) menjelang 2025 dan berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 5.21 peratus (CAGR) sehingga 2029.
Di Malaysia, industri ini diramalkan mencapai pendapatan US$510 juta (RM2.2 bilion) pada 2025, dengan 2.82 peratus CAGR sehingga 2029, mencerminkan permintaan yang mapan untuk penyelesaian pengangkutan yang boleh diakses, cekap dan berpatutan, katanya.
Sementara itu, Tolley ketika mengulas mengenai prestasi InDrive pada 2024 memberitahu pada Ogos 2024, syarikat itu mencatatkan kenaikan 53.7 peratus dalam tunggangan, lonjakan 56.1 peratus pada pengguna aktif dan peningkatan 36.1 peratus dalam pemandu aktif.
“Ini menandakan pemecutan yang ketara berbanding pertumbuhan kumulatifnya pada 2022 dan 2023 apabila tunggangan menokok sebanyak 21.6 peratus, pengguna sebanyak 16.8 peratus dan pemandu sebanyak 23.3 peratus,” katanya.
-- BERNAMA
TAG: InDrive, Pemandu
DHBDD DHBDD HSNH SLR
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial